PBB desak gencatan senjata kekal, bebaskan semua tebusan di Gaza - Utusan Malaysia

PBB desak gencatan senjata kekal, bebaskan semua tebusan di Gaza

trump
PENDUDUK Gaza berjalan sambil membawa bantuan kemanusiaan yang mereka terima dari pusat pengedaran yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS dan Israel, di apa yang dipanggil "koridor Netzarim", di Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, pada 30 September 2025. Presiden AS pada 29 September telah membentangkan rancangan untuk menamatkan perang di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa supaya semua bentuk permusuhan di Gaza, Israel dan seluruh rantau itu dihentikan serta-merta, sambil mengingatkan para pemimpin agar tidak terus mengambil tindakan yang menyebabkan orang awam membayar dengan nyawa dan masa depan mereka.

Gesaan itu dibuat sempena ulang tahun kedua serangan 7 Oktober oleh Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain terhadap Israel, yang turut disertai permintaan supaya semua tebusan yang masih ditahan di Gaza dibebaskan tanpa syarat.

“Cukup sudah penderitaan ini. Tamatkan penderitaan untuk semua pihak,” katanya merujuk kepada situasi kemanusiaan di Gaza yang disifatkannya sebagai malapetaka kemanusiaan pada skala yang sukar dibayangkan.

Menurut Guterres, serangan berskala besar Hamas dua tahun lalu mengorbankan lebih 1,250 nyawa rakyat Israel dan warga asing, selain lebih 250 orang termasuk wanita, kanak-kanak serta warga tua diculik dan dibawa ke Gaza.

Sebagai tindak balas, serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah itu telah mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala ratusan ribu lagi cedera.

PBB percaya angka sebenar jauh lebih tinggi kerana ribuan mayat masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah dibedil.

“Dua tahun telah berlalu, namun masih ada tebusan yang ditahan dalam keadaan amat menyedihkan. Saya sendiri telah bertemu keluarga tebusan dan mangsa yang terselamat, yang berkongsi kesakitan tidak tertanggung mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak terlibat agar membebaskan semua tebusan secara serta-merta dan tanpa syarat, serta bergerak ke arah gencatan senjata kekal dan proses politik yang berwibawa bagi mengelakkan pertumpahan darah berterusan.

Guterres turut menyifatkan pelan damai terkini yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai peluang yang harus dimanfaatkan bagi menamatkan konflik tragik ini.

Tambah beliau, undang-undang antarabangsa mesti sentiasa dihormati dan mengulangi komitmen PBB untuk terus menyokong usaha damai di rantau berkenaan.

Katanya, ingatan terhadap mangsa konflik tidak seharusnya hanya dikenang melalui upacara memperingati, sebaliknya melalui tindakan konkrit untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di mana rakyat Israel, Palestin dan seluruh penduduk rantau itu dapat hidup bersama dalam suasana aman, bermaruah dan saling menghormati. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×