BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan beliau nekad membawa pulang kesemua mayat tebusan yang masih berada di Gaza, sambil berikrar meneruskan perjuangan menentang Hamas dengan ‘kekuatan penuh’.
Ucapan itu disampaikan dalam satu upacara memperingati mangsa serangan 7 Oktober 2023 hanya beberapa jam selepas Hamas menyerahkan dua lagi mayat tebusan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Namun, Hamas memaklumkan mereka masih belum dapat mengakses baki 19 lagi mayat, dengan mendakwa situasi di lapangan menyukarkan pencarian dan memerlukan peralatan khas.
Kelewatan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Israel, yang melihatnya sebagai kegagalan Hamas mematuhi syarat-syarat perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu.
Namun, Amerika Syarikat menafikan kelewatan itu melanggar perjanjian, dengan menyatakan Hamas masih bertindak “dengan niat baik”.
Berucap di Tanah Perkuburan Nasional Gunung Herzl, Netanyahu menegaskan komitmen kerajaannya untuk mendapatkan semula kesemua tebusan, hidup atau mati.
“Kita tidak akan berhenti sehingga mereka semua kembali ke tanah air. Sama ada rakyat Israel atau warga asing, mereka akan dibawa pulang,” katanya.
Menurut kerajaan Israel, dua mayat yang dikembalikan pada malam Rabu dikenal pasti sebagai Inbar Hayman dan Sarjan Mejar Muhammad al-Atarash.
Penyerahan dilakukan oleh anggota Hamas di Gaza City, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang telah dikembalikan sejak Isnin meningkat kepada sembilan daripada 28.
Setakat ini, kesemua 20 tebusan yang masih hidup telah dibebaskan Isnin lalu, sebagai sebahagian daripada pertukaran dengan pembebasan 250 tahanan Palestin di penjara Israel dan 1,718 tahanan dari Gaza.