GAZA: Tentera Israel mengeluarkan amaran keras kepada penduduk Palestin agar tidak kembali ke Gaza City, dengan menyifatkan kawasan itu sebagai “zon pertempuran yang berbahaya” walaupun terdapat desakan antarabangsa untuk menghentikan serangan.
Amaran itu dikeluarkan susulan penerimaan bersyarat Hamas terhadap pelan damai 20 perkara yang dikemukakan oleh Trump, yang dilihat sebagai satu langkah awal ke arah menamatkan konflik berpanjangan di Gaza.
Dalam kenyataan yang disiarkan di platform X (dahulu Twitter), jurucakap tentera Israel menyatakan kawasan di utara Wadi Gaza kekal sebagai zon pertempuran berbahaya. Kehadiran di kawasan ini membawa risiko besar.
Oleh itu, Jalan Rashid masih dibuka untuk membolehkan mereka bergerak ke arah selatan.
Tentera Israel turut menggesa penduduk mengelakkan kawasan utara Gaza, termasuk lokasi operasi tentera yang mungkin berlaku di seluruh Semenanjung, termasuk di bahagian selatan.
“Demi keselamatan anda, elakkan kembali ke utara atau menghampiri kawasan operasi pasukan tentera, di mana-mana sahaja di Gaza,” tambah kenyataan itu.
Amaran ini memburukkan lagi ketidakpastian yang dihadapi oleh ribuan penduduk yang sebelum ini terpaksa melarikan diri ke selatan untuk mencari perlindungan, dan kini mengharapkan adanya laluan pulang serta gencatan senjata yang berkekalan.










