TEL AVIV: Mahkamah Israel melanjutkan tempoh tahanan pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Hussam Abu Safiya, 52 tahun, selama enam bulan lagi. Keputusan ini diumumkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Palestin, Al Mezan, pada hari Khamis.
Abu Safiya ditangkap secara mengejut oleh tentera Israel dari dalam hospital pada Disember 2024. Beliau kemudian tampil di hadapan mahkamah Bir al-Sabi’ melalui sidang video, dengan hakim memutuskan meneruskan tahanannya di bawah undang-undang kontroversi “pejuang haram”.
Peguam yang mewakili Abu Safiya dari Al Mezan menentang keputusan tersebut, dengan alasan tiada bukti kukuh untuk menjustifikasi penahanan dan dakwaan terhadapnya.
Mereka juga menegaskan penahanan ini melanggar undang-undang antarabangsa dan perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada petugas perubatan.
Al Mezan mengecam tindakan mahkamah itu sebagai satu pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia serta prinsip perbicaraan yang adil.
Doktor yang berkhidmat di barisan hadapan ini didakwa tidak diberikan peluang untuk membela diri, menyemak bukti atau membantah dakwaan yang dikenakan ke atasnya.
Pusat hak asasi itu menegaskan, tahanan ini menjadikan Abu Safiya seperti tebusan yang dipegang tanpa asas undang-undang atau proses kehakiman yang adil, dalam satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.