TEL AVIV: Mahkamah Agung Israel semalam menangguhkan pendengaran kes yang difailkan oleh sebuah pertubuhan mewakili media antarabangsa bagi menuntut kebenaran akses bebas ke Semenanjung Gaza.
Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan wartawan asing memasuki wilayah yang musnah akibat konflik itu, kecuali segelintir wartawan yang dibawa masuk di bawah kawalan ketat pasukan tenteranya.
Kes berkenaan difailkan oleh Foreign Press Association (FPA), organisasi yang mewakili ratusan wartawan asing yang berpangkalan di Israel dan wilayah Palestin.
Dalam prosiding yang bermula pada Khamis, pihak Pendakwa Negara Israel memaklumkan keadaan telah berubah dan memohon tempoh tambahan 30 hari untuk meneliti situasi semasa namun, tiada tarikh baharu ditetapkan bagi pendengaran seterusnya.
Sebelum pendengaran bermula, Pengerusi FPA, Tania Kraemer berkata pihaknya sudah terlalu lama menunggu peluang untuk membawa isu itu ke mahkamah.
“Kami berharap agar pintu Gaza dibuka semula dan kami dibenarkan masuk untuk bekerja bersama rakan wartawan Palestin di sana,” katanya.
FPA mula menuntut akses bebas ke Gaza tidak lama selepas perang meletus berikutan serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023, namun rayuan itu berulang kali diketepikan oleh pihak berkuasa Israel.
Ahli lembaga FPA, Nicolas Rouget, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, media antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dunia, termasuk rakyat Israel dan Palestin.
“Kami mesti berdiri bersama rakan-rakan wartawan Palestin di Gaza yang menjadi satu-satunya sumber maklumat tentang konflik ini sejak dua tahun lalu,” katanya.
Israel pada 10 Oktober lalu mengumumkan gencatan senjata dan menarik sebahagian tenteranya keluar daripada wilayah itu, sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara yang dirangka Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan perang Gaza. -AGENSI










