Lima individu ditahan terlibat rusuhan ketika mogok nasional di Brussels

Lima individu ditahan terlibat rusuhan ketika mogok nasional di Brussels

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Lima individu ditahan selepas terlibat dalam rusuhan yang tercetus ketika demonstrasi sempena mogok nasional di Brussels pada Selasa.

Menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Brussels pada Rabu, tiga daripada mereka ditahan atas pertuduhan penglibatan dalam kegiatan jenayah, manakala dua lagi dituduh kerana ingkar arahan dan memusnahkan harta awam.

Kesemua lima suspek telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, beberapa siasatan telah dibuka berhubung kesalahan jenayah yang berlaku semasa demonstrasi tersebut.

Semalam, lebih 100,000 penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan utama Brussels, selepas mogok nasional di Belgium menyebabkan gangguan besar-besaran dalam pengangkutan awam dan perjalanan udara di seluruh ibu negara.

Menurut laporan media tempatan, mogok itu menyebabkan semua penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Brussels dibatalkan, manakala sekurang-kurangnya separuh daripada penerbangan tiba turut terjejas, menjadikan balai berlepas yang biasanya sibuk kini sunyi sepi.

Kira-kira 48,000 penumpang terjejas, termasuk 33,000 yang dijadualkan berlepas dan 15,000 yang sepatutnya tiba. Hanya penerbangan melibatkan kira-kira 17,000 penumpang dibenarkan mendarat, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.

Insiden ini merupakan kali keenam tahun ini Lapangan Terbang Brussels terjejas akibat tindakan mogok, dengan lebih 250,000 penumpang terlibat secara keseluruhan.

Selain penerbangan, pengangkutan awam di Brussels turut lumpuh. Hanya sebahagian kecil laluan metro, tram dan bas beroperasi pada waktu pagi, manakala rangkaian De Lijn di Flanders dan TEC di Wallonia turut mengalami gangguan teruk.

Di Wallonia sahaja, 64 peratus daripada laluan yang dirancang dibatalkan, dengan kawasan Liege-Verviers paling terkesan.

Beberapa terowong utama di pusat bandar seperti Annie Cordy, Botanique dan Rogier turut ditutup sementara akibat kebakaran kecil, sekali gus menambah kesesakan lalu lintas di sekitar Brussels.

Sektor pendidikan juga tidak terkecuali apabila ramai guru dilaporkan turut menyertai demonstrasi, menyebabkan sesi persekolahan terganggu.

Mogok nasional itu dianjurkan oleh gabungan kesatuan sekerja Belgium bagi membantah langkah penjimatan kerajaan, dasar gaji, serta tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN