GAZA: Kumpulan ‘samseng’ yang disokong Israel dilaporkan sedang merampas kawalan ke atas beberapa kawasan di Gaza, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan berpotensi menggugat sebarang usaha damai di wilayah itu.
Tentera dan perkhidmatan keselamatan Israel sejak beberapa bulan lalu membekalkan senjata serta melatih kumpulan-kumpulan di Gaza sebagai pasukan bantuan tempatan dan alternatif kepada Hamas.
Namun, strategi itu dilihat semakin dipergiat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Antara kumpulan yang wujud ialah Pasukan Popular di bawah pimpinan Yasser Abu Shabab, yang beroperasi di selatan Gaza.
Mereka didakwa bekerjasama rapat dengan tentera Israel di lokasi pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah organisasi swasta disokong AS dan Israel yang tidak telus.
Kini, sehingga 12 kumpulan tersebut muncul di serata Gaza
“Orang ramai di sini takut kepada Hamas, dan Hamas selama ini yakin tiada pengganti untuk mereka di Gaza. Tetapi hari ini, saya beritahu anda, sudah ada alternatif. Sama ada saya, Abu Shabab atau orang lain, alternatif kepada Hamas kini wujud,” kata Ketua sebuah kumpulan baharu di Khan Younis, Hossam al-Asta.
Kumpulan-kumpulan bersenjata ini turut menambah kesulitan kepada badan-badan bantuan yang sudah pun bergelut dengan sekatan Israel serta halangan logistik besar.
Seorang pegawai sebuah agensi bantuan utama berkata, mereka tidak lagi berhubung dengan Hamas sejak Mac, sebaliknya terpaksa berurusan dengan pelbagai pihak lain.
“Di utara tiada pihak yang benar-benar mengawal, di kawasan tengah ada keluarga-keluarga berpengaruh serta militia kecil tidak rasmi, manakala di selatan wujud kumpulan yang jelas menjadi klien Israel dan menerima senjata daripada tentera Israel.
“Undang-undang dan ketenteraman semakin runtuh, masyarakat berpecah-belah dan orang ramai kini hanya berjuang untuk terus hidup.” katanya.
Banyak kumpulan bersenjata ini dilaporkan terbabit dalam kegiatan merompak bantuan, memeras ugut organisasi kemanusiaan, serta menindas penduduk Palestin sendiri dengan hampir 70 peratus daripada insiden sedemikian berlaku selepas gencatan senjata dua bulan dimungkiri oleh Israel pada Mac lalu.-AGENSI










