LONDON: Polis Britain pada Ahad memaklumkan bahawa mereka sedang menyiasat insiden kebakaran di sebuah masjid di selatan England sebagai satu bentuk jenayah kebencian, hanya beberapa hari selepas serangan maut ke atas sebuah rumah ibadat Yahudi.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, anggota polis bergegas ke tempat kejadian di sebuah masjid di bandar pesisir Peacehaven lewat malam Sabtu selepas menerima laporan berhubung kejadian kebakaran tersebut.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun pintu hadapan masjid serta sebuah kenderaan yang diletakkan di luar bangunan mengalami kerosakan akibat api.
Insiden itu berlaku dua hari selepas serangan di sebuah sinagog di Manchester Utara yang mengorbankan dua orang dan mencederakan tiga lagi mangsa.
Polis kini sedang menyiasat sama ada kedua-dua kejadian tersebut mempunyai sebarang kaitan dan mengesahkan bahawa unit khas jenayah kebencian sedang bekerjasama dengan pasukan bomba untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran. -AGENSI











