WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, memberi amaran beliau akan menyokong tindakan ketenteraan terhadap Hamas, sekali gus berisiko memecahkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Palestin itu sekiranya Hamas terus menyasarkan geng bersenjata dan individu yang didakwa bekerjasama dengan Israel di Gaza.
“Jika Hamas terus membunuh orang di Gaza, yang bukan sebahagian daripada perjanjian, kita tiada pilihan selain masuk dan bunuh mereka. Terima kasih atas perhatian anda!,” tulisnya dalam Social Truth.
Namun, dalam pertemuan dengan wartawan selepas itu, Trump menjelaskan tentera AS tidak akan masuk ke Gaza secara langsung.
“Ada pihak yang sangat dekat, sangat hampir, dan mereka akan selesaikan perkara ini dengan mudah tetapi di bawah naungan kita,” katanya sambil merujuk kepada Israel, walaupun Trump tidak menyebut nama negara tersebut secara langsung.
Amaran tersebut sebagai perubahan pendirian drastik, memandangkan Trump sebelum ini menyatakan tiada masalah dengan tindakan Hamas membanteras geng-geng jenayah di Gaza.
“Mereka telah menghapuskan beberapa geng yang sangat jahat. Dan saya tiada masalah dengan itu, sejujurnya. Ia okey,” katanya Selasa lalu.
Kenyataan Trump dibuat selepas pertempuran berdarah tercetus antara anggota Hamas dan geng bersenjata yang dikaitkan dengan Israel, yang dituduh menyeleweng bantuan kemanusiaan serta menjadi mata-mata untuk Israel.
Minggu ini, seorang wartawan terkenal Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan dibunuh oleh kumpulan bersenjata pro-Israel di Gaza.
Menurut pegawai Israel sendiri, mereka sebelum ini mengaku telah membekalkan senjata kepada geng di Gaza termasuk yang mempunyai kaitan dengan ISIL (ISIS) dalam usaha menggugat pengaruh Hamas di wilayah tersebut.
Trump turut menegaskan bahawa di bawah pelan gencatan senjatanya, Hamas mesti melucutkan senjata dan menyerahkan kuasa pemerintahan Gaza.
“Mereka akan lucut senjata, dan jika tidak, kita akan lucutkan mereka dan ia akan berlaku dengan pantas, mungkin juga secara ganas,” katanya.