Jerman tolak kemasukan kanak-kanak cedera dari Gaza - Utusan Malaysia

Jerman tolak kemasukan kanak-kanak cedera dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Kerajaan Jerman menolak tawaran daripada bandar Hanover di utara negara itu untuk menerima sehingga 20 kanak-kanak cedera dan trauma dari Semenanjung Gaza, lapor media pada Selasa, menurut agensi berita Anadolu.

Datuk Bandar Hanover, Belit Onay yang berasal daripada keluarga imigran Turki, melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan persekutuan itu.

“Kami amat kesal dengan maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri Persekutuan. Penolakan ini sangat mengecewakan dan sukar difahami,” katanya.

Nada sama disuarakan oleh Presiden Wilayah Hanover, Steffen Krach yang menegaskan lebih 16,000 penduduk Gaza bergantung kepada rawatan dari luar negara.

“Menolak bantuan kepada mereka yang paling memerlukannya terutamanya kanak-kanak adalah satu tindakan yang kejam,” katanya.

Menurut sepucuk surat daripada kementerian yang diperoleh Agensi Berita Jerman (dpa), walaupun terdapat kemajuan ke arah menamatkan pertempuran, keadaan di Gaza masih sangat tidak menentu dan sukar dijangka.

Surat itu turut menyebut bahawa perkara sama terpakai kepada pihak berkuasa Israel dan Mesir yang bertanggungjawab mengeluarkan permit keluar.

Pemindahan kanak-kanak untuk rawatan di Jerman, menurut kementerian, melibatkan prosedur rumit seperti pengesahan identiti pesakit, ahli keluarga yang mengiringi, penilaian keselamatan, kos rawatan serta kemungkinan untuk mereka kembali semula ke tanah air.

Dari sudut pandang kerajaan persekutuan, lebih wajar untuk menyokong rawatan bagi mangsa cedera dan sakit teruk di Gaza sendiri, kata surat itu.

“Izinkan saya tegaskan kami sehaluan dalam hasrat membantu penduduk awam yang terjejas, khususnya kanak-kanak di Gaza, namun kami percaya ada cara lain yang lebih berkesan untuk menyalurkan bantuan kepada seramai mungkin mangsa,” menurut surat itu.

Selain Hanover, beberapa bandar lain seperti Bremen, Dusseldorf, Leipzig, Bonn, Frankfurt dan Kiel turut menyertai inisiatif berkenaan.

Gereja Protestan di negeri Lower Saxony juga menyatakan sokongan terhadap usaha tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN