Switzerland sukar kenal pasti mangsa kebakaran

Switzerland sukar kenal pasti mangsa kebakaran

PASUKAN penyelamat dilihat di lokasi kebakaran yang memusnahkan sebuah bar di bandar resort ski mewah Alpen di Crans-Montana, Switzerland.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERN: Pasukan penyiasat berdepan tugas sukar untuk mengenal pasti mayat-mayat rentung dalam kebakaran  memusnahkan sebuah bar penuh sesak di Crans- Montana yang mengorbankan lebih 40 orang ketika sambutan Malam Tahun Baharu kelmarin.

Keadaan mayat melibatkan golongan muda di bar Le Constellation itu dilaporkan terlalu parah sehingga pihak berkuasa Switzerland memaklumkan proses mengenal pasti kesemua mereka mungkin mengambil masa beberapa hari.

Insiden tragis yang disifatkan sebagai antara tragedi terburuk dalam sejarah moden Switzerland itu turut mencederakan 115 orang, ramai dalam keadaan serius.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibu bapa kepada remaja yang dilaporkan hilang mengeluarkan rayuan untuk mendapatkan maklumat mengenai orang tersayang dan memuatnaik gambar-gambar mangsa di media sosial, sementara kedutaan asing bertungkus-lumus menentukan sama ada warganegara mereka antara yang terlibat.

“Keutamaan pertama adalah untuk memberikan identiti kepada semua mayat. Proses ini bakal berlarutan beberapa minggu,” kata Datuk Bandar Crans-Montana, Nicolas Feraud.

Ketua Kerajaan Kanton Valais, Mathias Reynard berkata, pakar menggunakan sampel pergigian dan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengecaman.

“Semua kerja ini perlu dilakukan kerana maklumatnya terlalu mengerikan dan sensitif. Tiada apa yang boleh dimaklumkan kepada keluarga melainkan kami 100 peratus pasti,” katanya.

Lebih 30 mangsa dibawa ke hospital yang mempunyai unit rawatan lecur khusus di Zurich dan Lausanne, manakala enam lagi dipindahkan ke Geneva, menurut sebuah agensi berita Switzerland. 

Punca kebakaran masih belum jelas. Pihak berkuasa Switzerland berkata, kejadian itu kelihatan berpunca daripada kemalangan dan bukannya satu serangan.

Beberapa keterangan mangsa terselamat serta rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan siling ruang bawah tanah bar itu mungkin terbakar akibat lilin yang dinyalakan terlalu hampir.

Ratusan orang berdiri dalam keadaan senyap berhampiran lokasi tragedi dan bendera dikibarkan separuh tiang selama lima hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×