GAZA: Israel hanya akan membenarkan separuh daripada jumlah trak bantuan yang dipersetujui memasuki Gaza mulai Rabu menurut nota yang disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus memberi tamparan terhadap harapan untuk meningkatkan bekalan makanan dan bantuan bagi mengurangkan kebuluran di wilayah itu.
Israel mengenakan sekatan baharu terhadap kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza yang dikepung dan tidak akan membuka lintasan Rafah seperti dirancang, sementara pasukan tenteranya membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di wilayah Palestin itu ketika gencatan senjata Israel-Hamas semakin tertekan.
Badan ketenteraan Israel yang mengawasi aliran bantuan ke Gaza (COGAT) turut memaklumkan kepada PBB tiada bahan api atau gas akan dibenarkan masuk kecuali bagi keperluan khusus infrastruktur kemanusiaan.
COGAT tidak memberikan maklum balas kepada permintaan untuk terhadap butiran lanjut tindakan tersebut.
Badan itu menyalahkan Hamas atas kelewatan penyerahan mayat tebusan sebagai sebab keputusan mengehadkan jumlah trak bantuan kepada 300 sehari.
“Hamas telah melanggar perjanjian berkaitan penyerahan mayat tebusan yang ditahan di Semenanjung Gaza. Oleh itu, kepimpinan politik memutuskan untuk mengenakan beberapa sekatan yang berkaitan dengan perjanjian kemanusiaan yang dicapai,” menurut nota COGAT itu.
Setakat ini, Hamas sudah menyerahkan lapan keranda berisi mayat tebusan, manakala sekurang-kurangnya 19 lagi disyaki meninggal dunia dan seorang masih belum dikenal pasti di Gaza.
“Kami sudah menerima makluman ini daripada pihak berkuasa Israel. Kami amat berharap agar mayat tebusan diserahkan sepenuhnya dan gencatan senjata terus dilaksanakan,” kata jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) di Gaza, Olga Cherevko.
COGAT sebelum ini menyatakan pada Jumaat sekitar 600 trak bantuan dijangka memasuki Gaza setiap hari sepanjang tempoh gencatan senjata.
Menurut Cherevko, COGAT memaklumkan kepada PBB sebanyak 817 trak sudah memasuki Gaza pada Ahad.
Namun, jurucakap timbalan PBB, Farhan Haq berkata, tidak jelas berapa banyak trak yang memasuki wilayah itu pada Isnin.
“Lintasan sempadan tidak dibuka hari ini untuk kemasukan bekalan dari pihak Israel, tetapi kami sedang mengumpul bekalan dari dalam Gaza hari ini,” kata Haq pada Selasa.
Israel mewajibkan semua bantuan dipunggah dari trak di bahagian sempadan Palestin, sebelum dikumpulkan oleh PBB dan kumpulan bantuan yang sudah berada di Gaza.
Sementara itu, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) berkata, pihaknya sudah menangguhkan operasi buat sementara waktu.
Agensi itu terakhir mengagihkan bantuan pada Jumaat lalu dan menutup satu daripada empat pusat pengedarannya, namun pusat itu dijangka dibuka semula di lokasi lain di Gaza.
GHF menyatakan ia kini mempunyai dana mencukupi untuk terus beroperasi sehingga akhir November dan akan membuat pelarasan taktikal terhadap operasinya, namun tetap komited untuk menyalurkan bantuan kepada seramai mungkin penduduk di Gaza.-AGENSI