GAZA: Pejabat Media Kerajaan Gaza mendakwa sekurang-kurangnya 109 orang awam terbunuh dalam siri serangan udara Israel yang dilancarkan dalam tempoh 12 jam terakhir, termasuk 52 kanak-kanak, 23 wanita, empat warga emas dan tujuh orang kelainan upaya (OKU).
Dalam kenyataannya semalam, pejabat itu menuduh rejim Zionis melancarkan kempen sistematik penyebaran maklumat palsu dan penipuan bagi menutup jenayah perang yang terus dilakukan terhadap penduduk awam di Semenanjung Gaza.
Terdahulu, tentera Israel mengeluarkan senarai mengandungi nama 26 individu yang didakwa terbunuh dalam serangan terbaharu, lengkap dengan 21 gambar. Namun, hasil siasatan lanjut pihak berkuasa Gaza mendapati tiga nama dalam senarai tersebut tidak sah, bukan berbahasa Arab serta tiada dalam rekod rasmi Palestin.
Beberapa nama lain pula didapati palsu dan tidak disertakan gambar, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap ketulenan maklumat yang disebarkan oleh Israel.
Pejabat Media Gaza menegaskan tindakan itu jelas bertujuan mengelirukan masyarakat antarabangsa dan menafikan tanggungjawab terhadap korban awam yang semakin meningkat.
Kenyataan itu turut menyebut serangan berterusan Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk prinsip kesepadanan dan pembezaan, apabila kawasan kediaman, hospital serta tempat perlindungan awam disasarkan secara sengaja.
“Israel bukan sahaja menyerang pejuang bersenjata, tetapi seluruh penduduk Gaza tanpa mengira usia atau keadaan,” menurut kenyataan itu.
Serangan terbaharu ini berlaku ketika tekanan global semakin meningkat bagi mendesak gencatan senjata segera dan perlindungan terhadap penduduk awam di wilayah berkenaan, yang kini berdepan krisis kemanusiaan paling buruk sejak konflik tercetus semula lebih setahun lalu.










