Israel bebaskan empat aktivis GSF dari Itali - Utusan Malaysia

Israel bebaskan empat aktivis GSF dari Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Rejim Zionis Israel semalam mengusir empat aktivis dari Itali, kumpulan pertama daripada ratusan peserta konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan ketika cuba menghantar bantuan ke Gaza.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataannya memaklumkan, lebih 470 aktivis flotilla kini ditahan dan menjalani pemeriksaan ketat sebelum diusir secara berperingkat. Empat aktivis Itali dihantar pulang lebih awal, termasuk dua ahli Parlimen negara itu.

Misi GSF yang melibatkan 42 kapal kecil, gagal menembusi sekatan maritim apabila tentera laut Israel melancarkan operasi pintasan besar-besaran yang berlangsung selama 12 jam, sebelum semua kapal ditunda secara paksa ke Pelabuhan Ashdod.

Setiap kapal dilaporkan membawa bantuan kemanusiaan, aktivis antarabangsa, wartawan serta sukarelawan yang tekad memecahkan sekatan tidak sah Israel ke atas Gaza yang telah berlanjutan lebih 17 tahun.

Kapal terakhir, Marinette, dipintas pada pukul 10.29 pagi semalam, kira-kira 42.5 batu nautika dari Gaza, menunjukkan flotilla masih berada di perairan antarabangsa ketika dipintas, sekali gus menjadikan tindakan Israel sebagai melanggar undang-undang maritim antarabangsa.

Antara yang ditahan termasuk lebih 20 wartawan, menurut badan pemantau media Reporters Without Borders (RSF). Mereka mewakili organisasi seperti Al Jazeera (Qatar), RAI (Itali) dan El Pais (Sepanyol), menimbulkan kebimbangan serius mengenai kebebasan media.

Pintasan kejam itu mencetus gelombang kemarahan global. Di Itali, mogok umum dilancarkan sebagai tanda solidariti, melibatkan gangguan besar terhadap kereta api, lapangan terbang, sekolah, dan pelabuhan, termasuk sekatan akses ke pelabuhan Livorno.

Sementara itu, di Barcelona, lebih 15,000 penunjuk perasaan berarak di jalanan, melaungkan slogan seperti “Gaza, kamu tidak keseorangan”, “Boikot Israel” dan “Kebebasan untuk Palestin”. Barcelona adalah lokasi pelayaran GSF dimulakan sebelum dipintas Israel.

Pemerhati antarabangsa menyifatkan tindakan Israel bukan sahaja mencabul hak kemanusiaan tetapi juga bertentangan dengan norma diplomatik, memandangkan misi GSF disertai ramai ahli Parlimen Eropah dan tokoh kemanusiaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×