GAZA: Hamas mengetatkan kawalan di bandar-bandar yang musnah di Gaza, melancarkan tindakan keras dan melaksanakan hukuman mati terhadap individu yang dituduh bersekongkol dengan musuh.
Hamas menyiarkan video di saluran rasminya yang menunjukkan hukuman mati di jalanan terhadap lapan suspek yang ditutup mata dan berlutut, dengan label ‘pengkhianat dan penjenayah’.
Rakaman yang dipercayai diambil pada malam Isnin muncul ketika pertempuran bersenjata tercetus antara pelbagai unit keselamatan Hamas dan puak-puak bersenjata Palestin di beberapa kawasan wilayah itu pada hari kelima gencatan senjata.
Di utara Gaza, ketika pasukan Israel berundur dari Gaza City, pasukan polis bersenjata Hamas yang memakai topeng hitam kembali menjalankan rondaan jalanan.
Apabila bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel tiba di Gaza pada Isnin, anggota Briged Ezzedine al-Qassam, sayap bersenjata Hamas turut mengawal orang ramai.
Sementara itu, satu unit keselamatan Hamas menjalankan operasi terhadap puak bersenjata dan kumpulan jenayah, sebahagiannya didakwa mempunyai hubungan dengan Israel.
“Pertempuran sengit tercetus dan masih berterusan ketika ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan pengkhianat,” kata seorang saksi, Yahya.
Seorang lagi penduduk Gaza, Mohammed memberitahu AFP, selama berjam-jam pagi tadi, berlaku pertempuran hebat antara pasukan keselamatan Hamas dan ahli keluarga Hilles.
Pertempuran itu berlaku di kawasan Shujaiya di timur Gaza City berhampiran Garisan Kuning, kawasan di mana unit Israel masih menguasai kira-kira separuh wilayah Gaza.
“Kami mendengar tembakan dan letupan yang berterusan, dan pasukan keselamatan menahan beberapa orang. Kami menyokong tindakan ini,” kata Mohammed.
Seorang sumber keselamatan Palestin di Gaza memberitahu AFP badan keselamatan Hamas, unit baharu yang dikenali sebagai Pasukan Pencegah sedang menjalankan operasi lapangan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kestabilan.
“Pesanan kami jelas. Tiada tempat untuk penjenayah atau sesiapa yang mengancam keselamatan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengecam keras pembunuhan di jalanan oleh Hamas sebagai jenayah kejam, menyatakan tindakan itu mengorbankan nyawa puluhan warga tanpa proses undang-undang dan tanpa perbicaraan yang adil.










