PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka akan meneruskan momentum pengukuhannya pada minggu ini, dirangsang oleh peningkatan keyakinan pelabur terhadap jangkaan penyelesaian konflik geopolitik di Asia Barat serta sokongan data ekonomi domestik yang padu.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang kini kukuh melepasi paras 1,710 mata, diramal mampu mengekalkan momentum belian sekiranya unjuran damai global tersebut terus memihak kepada pasaran ekuiti.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, lonjakan indeks yang dibuka tinggi pada paras 1,712.89 mata pada Jumaat menunjukkan reaksi positif segera pelabur terhadap prestasi semalaman Wall Street yang didorong oleh harapan de-eskalasi ketegangan di Asia Barat.
“Sentimen pasaran secara menyeluruh dijangka kekal dinamik menjelang minggu ini. Walaupun pelabur masih memantau aliran dana asing dan hala tuju kadar faedah global, petunjuk pemulihan geopolitik ini memberi kelegaan besar kepada pasaran sedang membangun termasuk Malaysia.
“Melihat kepada unjuran minggu ini, sokongan institusi domestik yang kuat serta minat belian yang kembali pulih terhadap sektor berorientasikan teknologi dijangka menjadi pemangkin utama yang mengehadkan sebarang risiko penurunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan prestasi dagangan pagi Jumaat, pasaran menunjukkan isyarat sihat apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 211 berbanding 176, melibatkan jumlah dagangan sebanyak 216.59 juta saham bernilai RM106.09 juta.
Tambahnya, berikutan petunjuk awal yang positif ini, beliau mengunjurkan kadar teknikal yang lebih optimis untuk tempoh terdekat.
“Bagi pergerakan minggu ini, saya menjangka FBM KLCI akan cuba menguji dan bergerak stabil dalam julat sasaran 1,700 hingga 1,720 mata,” jelasnya.
Aliran positif pasaran awal ini turut dicerminkan melalui pergerakan saham wajaran tinggi dengan Public Bank dan CIMB masing-masing menokok tiga sen kepada RM4.80 dan RM7.78, manakala IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM8.93.
Sektor teknologi turut mempamerkan taringnya apabila Malaysian Pacific Industries mendahului senarai kaunter paling untung dengan kenaikan 58 sen kepada RM46.78.
Bagaimanapun, peralihan fokus pelabur kepada aset berisiko menyaksikan kaunter berkaitan komoditi dan tenaga mengalami pembetulan harga, menyaksikan Petronas Dagangan susut 28 sen kepada RM18.52 dan Petron Malaysia Refining & Marketing turun 23 sen kepada RM14.13.
Mengulas mengenai faktor domestik, Idham berkata, data ekonomi tempatan yang kekal berdaya tahan serta kestabilan fiskal negara menjadi benteng kukuh yang akan menyokong aktiviti belian terpilih oleh dana-dana tempatan pada minggu hadapan.
Arah tuju Bursa Malaysia bagi minggu ini secara keseluruhannya akan terus dipandu oleh konsistensi sentimen damai global, perkembangan dasar monetari Amerika Syarikat (AS), serta keupayaan sektor teknologi tempatan untuk mengekalkan momentum rali di atas paras psikologi 1,710 mata.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata. sentimen pasaran kekal rapuh susulan aksi jualan besar-besaran dalam saham semikonduktor dan teknologi global di tengah-tengah lonjakan hasil bon serta kebimbangan inflasi yang berterusan.
Jelas beliau, situasi itu mengukuhkan lagi kebimbangan bahawa bank-bank pusat utama dunia mungkin mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama.
“Sikap berhati-hati pelabur semakin diperkuatkan oleh ketegangan geopolitik yang kembali meruncing selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi gangguan kepada pasaran tenaga global dan kestabilan kewangan yang lebih luas.
“Di peringkat domestik, tekanan jualan dapat dilihat merentasi kaunter teknologi, kewangan dan berorientasikan eksport memandangkan pelabur terus mengambil pendirian yang lebih defensif di tengah-tengah ketidaktentuan luaran yang meningkat,” katanya.-UTUSAN










