PETALING JAYA: Momentum eksport Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh terdekat, namun prospeknya bagi separuh kedua 2026 dilihat semakin mencabar susulan ketidaktentuan permintaan global.
CGS International (CGSI) berkata, prestasi eksport pada April 2026 menunjukkan pertumbuhan masih disokong sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi berkaitan petroleum, sekali gus membantu mengekalkan momentum sehingga separuh pertama tahun ini.
Menurutnya, sektor E&E terus menjadi pemacu utama eksport negara apabila menyumbang 47.8 peratus daripada jumlah eksport tahun ke tarikh, meningkat berbanding 44.3 peratus pada 2025.
“Pengumuman Persatuan Industri Semikonduktor bahawa jualan cip global masih berada di landasan mencapai sasaran 2026 memberi petunjuk permintaan semikonduktor kekal kukuh dalam jangka pendek.
“Permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan elektronik automotif terus menyokong pertumbuhan eksport semikonduktor Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, CGSI mengingatkan bahawa peningkatan kebergantungan eksport kepada sektor E&E turut meningkatkan pendedahan negara terhadap kitaran semikonduktor global.
“Sekiranya momentum teknologi global mula sederhana apabila kitaran semasa kembali normal, sektor ini boleh menjadi titik kelemahan kepada prestasi eksport negara,” katanya.
Dalam masa sama, eksport berkaitan komoditi turut dijangka memberi sokongan jangka pendek disebabkan harga petroleum yang lebih tinggi serta permintaan luaran yang bertambah baik.
Namun begitu, prestasi keseluruhan segmen komoditi masih bercampur-campur apabila eksport gas asli cecair (LNG) dan minyak sawit terus menunjukkan kelemahan secara kumulatif.
Situasi itu menunjukkan pertumbuhan volum asas masih belum cukup kukuh untuk menyokong momentum eksport komoditi secara menyeluruh.
“Oleh itu, sumbangan sektor komoditi dijangka mula sederhana memasuki separuh kedua 2026 sekiranya permintaan global melemah atau kesan kenaikan harga mula berkurangan.
“Risiko penurunan kekal wujud memandangkan harga komoditi yang tinggi bukan sahaja memberi kesan kepada perdagangan global, malah boleh menekan aktiviti pembuatan dunia,” katanya.
Selain itu, kelembapan penggunaan domestik China dan momentum eksport negara itu yang semakin lemah turut menimbulkan kebimbangan terhadap permintaan bagi barangan perantaraan serta aliran perdagangan serantau.
Firma penyelidikan itu berpandangan gangguan rantaian bekalan global, peningkatan kos logistik dan keadaan permintaan dunia yang masih rapuh boleh memberi tekanan kepada prestasi eksport Malaysia pada separuh kedua tahun ini.-UTUSAN










