Gelar bekas isteri ‘gemuk’, lelaki diarah bayar ganti rugi

Gelar bekas isteri ‘gemuk’, lelaki diarah bayar ganti rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Sebuah mahkamah di Turkiye memerintahkan seorang lelaki membayar ganti rugi kepada bekas isterinya selepas menyimpan nombor telefon wanita itu dengan gelaran memalukan.

Menurut laporan portal berita tempatan Haberler, keputusan dibuat oleh Mahkamah Kasasi di wilayah Uşak itu menetapkan lelaki berkenaan perlu membayar pampasan terhadap kerosakan material dan moral yang dialami bekas isterinya.

Kes berkenaan menjadi tumpuan di Turkiye selepas gelaran tersebut, Tombek yang dalam bahasa Turki bermaksud gemuk dibongkar semasa prosiding perceraian pasangan terbabit.

Wanita itu mendakwa panggilan tersebut berbaur penghinaan serta menjatuhkan maruahnya sebagai isteri, selain menjejaskan hubungan rumah tangga mereka.

Mahkamah mendapati tindakan si suami menamakan isterinya dengan gelaran itu sebagai satu bentuk penghinaan dan bersalah dalam kes perceraian tersebut.

Keputusan itu kini menjadi preseden undang-undang di Turkiye, sekali gus memberi amaran kepada para suami agar lebih berhati-hati dalam menggunakan nama panggilan terhadap pasangan masing-ma­sing.
Kes berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial Turkiye dengan ada yang menyokong keputusan mahkamah itu, manakala sebahagian lain berpendapat istilah tersebut mungkin hanya panggilan mesra tanpa niat menghina.

“Dipanggil ‘gemuk’ bukan satu penghinaan, malah boleh kedengaran manja,” tulis seorang pengguna media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN