'Gaza musnah sebab sikap negara Barat, PBB'

‘Gaza musnah sebab sikap negara Barat, PBB’

PENDUDUK Palestin mencari mayat di bawah runtuhan bangunan akibat serangan udara tentera Israel di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Negara-negara Ba­rat wajar dipersalahkan bagi kemusnahan yang berlaku di Gaza apabila seorang penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh mereka bersekongkol dalam ‘pembunuhan beramai-ramai sepenuhnya’ terhadap rakyat Palestin.

Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin, Francesca Albanese berkata, kegagalan negara-negara Barat mengekang tindakan Israel serta campur tangan Amerika Syarikat (AS) menjadikan konflik di Gaza semakin parah dan menggugat kredibiliti PBB sendiri.

“PBB ditubuhkan untuk menegakkan keamanan dan kestabilan dunia, namun di Gaza, ia telah gagal sama sekali.

“Ia gagal melindungi orang awam dan gagal melaksanakan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika membentangkan laporan terbaharu kepada Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB di New York.

Katanya, PBB ‘membenarkan fungsi kemanusiaannya dilumpuhkan sepenuhnya’ di Gaza, terutamanya selepas agensi pelarian Palestin, UNRWA diharamkan oleh Israel daripada beroperasi pada Januari lalu berikutan dakwaan penglibatan sebahagian kecil kakitangannya dalam serangan 7 Oktober.

Albanese turut mengecam tindakan AS mengenakan sekatan terhadap dirinya pada Julai lalu, yang disifatkannya sebagai ‘tidak sah dan berniat jahat’.

Katanya, sekatan itu meng­halang beliau daripada membentangkan laporan bersemuka dan menunjukkan Washington sanggup menekan badan antarabangsa demi melindungi Israel.

Katanya, sokongan ketenteraan, ekonomi dan politik daripada negara-negara Barat membolehkan Israel meneruskan pendudukan haram serta kempen ketenteraan yang mengorbankan ribuan nyawa di Gaza.

“Tanpa bantuan langsung negara lain, pendudukan Israel tidak mungkin dapat dikekalkan,” katanya sambil menyifatkan situasi itu sebagai ‘jenayah yang digalakkan oleh masyarakat antarabangsa’.

Albanese menggesa semua negara supaya menggantung hubungan diplomatik, ketenteraan dan ekonomi dengan Israel serta menuntut gencatan senjata kekal.

Beliau turut mencadangkan Israel digantung daripada keanggotaan PBB di bawah Artikel 6 Piagam PBB kerana melanggar prinsip asas pertubuhan itu.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon menolak laporan itu dan menuduh Albanese sengaja menyebarkan propaganda Hamas untuk memburukkan imej Israel di peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN