Gaza dipenuhi 60 juta tan sisa runtuhan, 40 tahun untuk bersih

Gaza dipenuhi 60 juta tan sisa runtuhan, 40 tahun untuk bersih

SEORANG wanita Palestin duduk di hadapan bangunan runtuh di Khan Younis, selatan Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Semenanjung Gaza kini dipenuhi lebih 60 juta tan sisa runtuhan susulan dua tahun pengeboman dahsyat oleh Israel, sekali gus menyebabkan lebih 1.5 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.

Pengarah Rangkaian Masya­rakat Sivil Gaza, Amjad Shawa, berkata kira-kira 300,000 hingga 400,000 penduduk yang sebelum ini dipindahkan berjaya kembali ke kawasan Gaza City dan bahagian utara wilayah itu sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Bagaimanapun, beliau mem­beri amaran mereka kini ber­depan keadaan hidup yang amat sukar berikutan kemusnahan hampir keseluruhan infrastruktur penting.

“Bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh pencerobohan ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden,” katanya.

Shawa turut memaklumkan lebih 80 peratus rumah di seluruh Gaza musnah, menjadikan usaha pembinaan semula sebagai satu daripada cabaran terbesar yang bakal dihadapi wilayah itu dalam tempoh akan datang.

Justeru, beliau menggesa campur tangan antarabangsa bagi melancarkan pelan menyelamat dan pemulihan menyeluruh untuk wilayah yang musnah teruk itu.

Sebelum ini, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan perang berterusan Israel mengakibatkan kerugian awal melebihi AS$70 bilion (RM295 bilion).

Malah, usaha untuk membersihkan berjuta-juta tan runtuhan akibat pengeboman dijangka mengambil masa sehingga empat dekad untuk diselesaikan sepenuhnya.

Bagi memindahkan kesemua sisa runtuhan ke tapak pelupusan, dianggarkan sekurang-kurangnya 2.1 juta perjalanan lori diperlukan, melibatkan jarak sejauh 29.5 juta kilometer, bersamaan mengelilingi bumi sebanyak 737 kali.

TUMPU PERJANJIAN NORMALISASI

Sementara itu, tuan Bantuan Perubatan di Gaza melaporkan hospital dan klinik di Gaza City menghadapi kekurangan bekalan dan peralatan perubatan penting.

Ia merangkumi ubat-ubatan, larutan IV, bahan pensterilan dan peralatan pertolongan cemas, namun pasukan perubatan terus beroperasi dalam keadaan yang amat sukar.

Beberapa jam selepas gencatan senjata mula berkuat kuasa pada Jumaat, pejuang Hamas dilihat bergerak bebas beberapa kawasan di Gaza.

Rakaman video yang diperoleh Middle East Eye menunjukkan orang ramai bersorak ketika kumpulan pejuang itu melintas, menandakan kehadiran mereka disambut secara terbuka.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau sudah memberi ‘kelulusan’ kepada Hamas untuk mengawal keselamatan di Gaza selepas gencatan senjata, bagi mengelak berlakunya ‘kekosongan kuasa dan jenayah’.

“Kami beri mereka (Hamas) kelulusan sementara untuk pastikan tiada jenayah besar berlaku di kawasan yang musnah teruk,” katanya.

Kenyataan itu bertentangan dengan matlamat utama Israel untuk memusnahkan Hamas, dibuat hanya beberapa jam sebelum Trump menyampaikan ucapan di Knesset.

Trump berkata, ‘mimpi ngeri yang panjang dan menyakitkan bagi rakyat Israel dan Palestin akhirnya sudah ber­akhir’.

PERHIMPUNAN BERSEJARAH

Fasa kedua lawatan Trump ke Asia Barat bermula pada Isnin apabila beliau tiba di bandar peranginan Laut Merah Mesir, Sharm el-Sheikh, bagi mengetuai Sidang Kemuncak Keamanan Gaza dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.

Kementerian Luar Mesir memaklumkan satu dokumen bagi menamatkan genosid di Gaza sudah ditandatangani.

Namun, banyak aspek dalam pelan keamanan 20 perkara yang dibentangkan Trump masih belum diperincikan, termasuk pihak mana akan menyertai Pasukan Penstabilan Dalaman yang dirancang bagi menjaga keselamatan di Gaza.

Trump dijangka mengetuai pentadbiran Gaza sebagai pengerusi kepada Lembaga Keamanan, manakala bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, turut dinamakan antara pemimpin antarabangsa yang akan terlibat.

Di Sharm el-Sheikh, pemimpin dunia membincangkan isu berkaitan tadbir urus Gaza, tahap pengunduran tentera Israel, serta pelucutan senjata Hamas.

Pelan Trump turut menggesa Jordan dan Mesir memainkan peranan melatih pasukan polis Palestin yang akan dihantar untuk mengawal keselamatan di Gaza.

Mesir juga berbincang mengenai kemungkinan untuk melucutkan senjata Hamas, dengan senjata kumpulan itu akan diserahkan kepada pasukan antarabangsa, bukannya dimusnahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN