GAZA: Kira-kira 300,000 murid di Gaza kembali menyambung sesi persekolahan di bawah inisiatif Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), meskipun sekatan Israel masih menghalang ratusan juta dolar bantuan daripada memasuki wilayah tersebut.
Penasihat Media UNRWA, Adnan Abu Hasna berkata, pihaknya menyusun rancangan untuk menyambung semula proses pembelajaran untuk 300,000 pelajar Palestin dan angka itu dijangka meningkat.
Katanya, kira-kira 10,000 pelajar akan menghadiri kelas secara bersemuka di sekolah dan pusat perlindungan, manakala selebihnya mengikuti pembelajaran jarak jauh.
“Mustahil untuk membiarkan dua tahun tanpa persekolahan selepas dua tahun sebelumnya terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan disiarkan di platform X.
Adnan turut memaklumkan seramai 8,000 guru akan terlibat dalam program pendidikan berkenaan.
Aktiviti persekolahan di Gaza digantung sejak 8 Oktober 2023, susulan serangan Israel yang mencetuskan pembunuhan beramai-ramai di wilayah itu.
Sebahagian besar sekolah UNRWA dan kerajaan terpaksa dijadikan pusat perlindungan bagi keluarga yang hilang tempat tinggal, manakala banyak bangunan sekolah musnah atau rosak teruk akibat serangan.
Menurut data Kementerian Pendidikan Palestin, setakat 16 September, Israel memusnahkan 172 sekolah kerajaan, mengebom atau merosakkan 118 lagi, serta menyerang lebih 100 sekolah yang dikendalikan UNRWA.
KEPERLUAN MUSIM SEJUK
Kementerian turut melaporkan seramai 17,711 pelajar terbunuh di Gaza sejak bermulanya pembunuhan beramai-ramai Israel, manakala 25,897 lagi cedera.
Selain itu, 763 kakitangan sektor pendidikan dilaporkan terbunuh dan 3,189 lagi cedera.
“Kami juga mempunyai rancangan dalam sektor kesihatan untuk menghidupkan semula 22 klinik utama di Gaza.
“Kami mempunyai puluhan pusat pengagihan makanan dan ribuat pekerja dengan pengalaman logistik yang luas,” kata Adnan.
Beliau berkata, UNRWA membeli bekalan bernilai ratusan juta dolar yang masih terperangkap di luar Gaza.

“Banyak keperluan asas, termasuk bahan binaan untuk tempat perlindungan, selimut, pakaian musim sejuk dan ubat-ubatan, tidak dibenarkan masuk ke Gaza dari pihak Israel, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan,” katanya.
Adnan turut memberi amaran 95 peratus penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan selepas kehilangan sumber pendapatan, dengan keadaan wilayah merosot dengan cepat.
“Ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini hidup di kawasan terbuka selepas pulang ke Gaza City, susulan pelaksanaan gencatan senjata. Penghantaran bantuan kini menjadi keperluan mendesak sebelum tibanya musim sejuk,” katanya.
HASUTAN BEN-GVIR
Sementara itu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir secara terbuka ‘menghasut’ Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk meneruskan operasi ketenteraan di Gaza selepas menuduh pejuang Hamas melancarkan serangan terhadap pasukan rejim di Rafah.
“Saya menggesa perdana menteri mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyambung semula pertempuran berskala penuh di Gaza dengan memperkukuh kekuatan tentera.
“Kepercayaan palsu Hamas akan berubah atau mematuhi perjanjian yang ditandatangani ternyata tidak menghairankan, berbahaya kepada keselamatan kita.
“Organisasi pengganas Nazi ini mesti dimusnahkan sepenuhnya dan semakin cepat lebih baik,” kata pemimpin ekstremis itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan keras Ben-Gvir itu dibuat sehari selepas beliau memberitahu rancangan Meet The Press terbitan Channel 12, yang mendakwa kononnya Netanyahu diberi tempoh tertentu untuk melumpuhkan Hamas serta melaksanakan hukuman mati terhadap pengganas.
Beliau turut memberi amaran parti berhaluan kanan pimpinannya, Otzma Yehudit, akan menarik diri daripada kerajaan jika tuntutan tersebut gagal dipenuhi.
Ben-Gvir sebelum ini menegaskan partinya tidak akan menjadi sebahagian daripada sejarah ‘kekalahan negara’ atau ‘aib sepanjang zaman’ sekiranya Hamas terus wujud selepas semua tebusan dibebaskan.
Perjanjian gencatan senjata di Gaza dicapai antara Israel dan Hamas minggu lalu, berasaskan pelan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Fasa pertama perjanjian itu merangkumi pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin. Pelan berkenaan turut merangkumi usaha membangunkan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.
Namun, dalam tempoh lebih seminggu perjanjian dimeterai, Pejabat Media Kerajaan Gaza menuduh Israel melanggar gencatan senjata sebanyak 80 kali sejak ia berkuat kuasa awal Oktober.