BERA: Tasik Bera, Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama di Malaysia kini berdepan ancaman serius akibat perubahan landskap, pencerobohan ekosistem semula jadi dan pengurusan yang longgar.
Tasik air tawar semula jadi terbesar di Semenanjung itu bukan sahaja menanggung tekanan pemburuan haram, malah kawasan hutan paya gambut dan tanah lembap yang menjadi habitat hidupan liar semakin gondol akibat kerja-kerja pembersihan secara keterlaluan.
Mingguan Malaysia pada Februari lalu melaporkan bahawa Tasik Bera tidak lagi gah seperti sedekad lalu, berisiko hilang daripada radar pelancongan antarabangsa serta tercabut identiti asal yang menjadi kebanggaan negara sejak 1994.
Tinjauan aktivis alam sekitar mendapati, ratusan pokok besar di laluan utama menuju jeti utama ditebang, menjadikan landskap terbuka dan panas seakan padang jarak padang tekukur yang langsung tidak mencerminkan ciri tasik tanah lembap.
Pengerusi Pencinta Alam Semula Jadi Bera, Mat Jidi Yaakob berkata, kerja menebang pokok berskala besar yang didakwa dilakukan Mei lalu atas alasan ‘pembersihan pokok berisiko’ menjejaskan kawasan tadahan air serta habitat burung, reptilia dan mamalia kecil.
“Dulu kita masih boleh lihat kehijauan landskap di pinggir tasik. Sekarang apa pun sudah payah nampak. Tasik Bera macam hilang roh asalnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mat Jidi mempersoal bagaimana tapak bertaraf Ramsar boleh dibiarkan longgar sehingga kerja ‘pembersihan’ mengubah rupa bumi asal, selain ketiadaan kajian saintifik berkala sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Keadaan itu lebih membimbangkan menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 apabila Tasik Bera, satu-satunya destinasi bertaraf Ramsar di Pahang kehilangan daya tarikan visual dan ekologi serta tenggelam berbanding Kenyir, Royal Belum dan Taman Negara.
“Jika keadaan ini tidak dikawal, status Ramsar itu hanya tinggal dokumen. Dunia sudah tidak memandang Tasik Bera seperti dahulu,” katanya.
Komuniti Semelai turut bimbang identiti etnik dan sumber pendapatan mereka melalui ekopelancongan akan pupus jika kerajaan negeri tidak campur tangan segera.
Sementara itu, Batin Pos Iskandar, Norya Abas berkata, kawasan hulu termasuk pulau berhampiran bekas resort dan tapak perkhemahan antara lokasi paling banyak ditebang.
“Sepatutnya kalau pembersihan, hanya pokok berisiko dekat kawasan resort. Tetapi yang berlaku, habis kawasan dilanggar. Dulu redup, sekarang terang benderang dan panas,” katanya. – UTUSAN










