BEIJING: Mahkamah di China mengenakan hukuman mati terhadap 11 ahli keluarga Ming, sebuah keluarga mafia terkenal yang mengendalikan sindiket penipuan berskala besar di Myanmar.
Seramai 39 ahli keluarga itu dibicarakan di bandar Wenzhou pada Isnin dengan baki anggota menerima hukuman penjara panjang termasuk penjara seumur hidup.
Lima lagi dikenakan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun, manakala selebihnya dipenjara antara lima hingga 24 tahun.
Menurut laporan CCTV, sejak 2015 keluarga Ming bersama kumpulan jenayah lain terbabit dalam pelbagai kegiatan haram termasuk penipuan telekomunikasi, kasino haram, penyeludupan dadah dan pelacuran.
Mereka dikatakan mengaut keuntungan lebih 10 bilion yuan (RM5.9 bilion) hasil daripada aktiviti perjudian dan penipuan yang dilakukan.
Keluarga Ming merupakan sebahagian daripada empat klan yang menguasai bandar kecil Laukkai di sempadan Myanmar-China, menjadikannya pusat perjudian, dadah dan penipuan berskala besar.
Myanmar melancarkan operasi terhadap keluarga mafia berkenaan pada 2023, menahan ramai ahlinya sebelum menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa China.
Mahkamah turut mendapati kumpulan itu bertanggungjawab bagi beberapa kematian pekerja pusat penipuan, termasuk insiden menembak pekerja bagi menghalang mereka pulang ke China.
Kasino di Laukkai pada asalnya dibangunkan untuk memenuhi permintaan rakyat China untuk berjudi secara haram.










