CAMPINAS: Dalam usaha memerangi penularan demam denggi, Brazil membuka kilang nyamuk terbesar di dunia yang mampu menghasilkan sehingga 190 juta ekor nyamuk seminggu.
Kilang yang terletak di bandar Campinas, negeri Sao Paulo itu meliputi keluasan 1,300 meter persegi dan menjadi pusat pembiakan utama bagi nyamuk Aedes aegypti yang digunakan untuk mengawal penyebaran virus denggi di negara berkenaan.
Projek tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada kaedah saintifik yang terbukti berkesan dalam menghalang penularan penyakit bawaan nyamuk.
Di kemudahan itu, nyamuk Aedes aegypti dibiakkan dan disuntik dengan bakteria Wolbachia, yang mampu menghalang perkembangan virus denggi dalam tubuh nyamuk serta mengekang penularannya kepada manusia.
Apabila nyamuk yang dijangkiti bakteria ini membiak, Wolbachia akan diturunkan kepada generasi seterusnya, sekali gus memperluas kesan pencegahan di peringkat populasi.
Proses pembiakan di kilang berkenaan bermula dengan ribuan dulang berisi air bersuhu terkawal bagi menetas dan membesarkan larva nyamuk.
Setelah dewasa, nyamuk dipindahkan ke dalam sangkar khas untuk diberi makanan, larutan gula pada kapas bagi nyamuk jantan, manakala nyamuk betina diberi darah haiwan dalam beg khas yang menyerupai tekstur kulit manusia.
Dalam tempoh empat minggu, nyamuk-nyamuk ini membiak dan bertelur di dalam dulang yang diletakkan di dasar sangkar sebelum dilepaskan ke persekitaran semula jadi.
Kaedah menggunakan bakteria Wolbachia ini terbukti berkesan di beberapa negara lain, namun Brazil kini melaksanakannya pada skala paling besar di dunia berikutan peningkatan kes denggi yang membimbangkan setiap tahun.
Kilang berkenaan mampu menghasilkan 190 juta ekor nyamuk setiap minggu jumlah yang mencukupi untuk melindungi penduduk seramai 100 juta orang selama setahun. — AGENSI










