HOI AN, Vietnam: Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala lapan lagi hilang akibat banjir yang melanda beberapa wilayah pesisir Vietnam minggu ini, apabila paras sungai utama berhampiran kawasan pelancongan mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 60 tahun.
Wilayah yang menempatkan bandar bersejarah Hoi An, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dilanda hujan lebat sejak hujung minggu lalu, dengan jumlah hujan rekod sehingga 1.7 meter dalam tempoh 24 jam.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Vietnam, lebih 128,000 rumah di lima wilayah tengah dinaiki air, dengan kedalaman mencecah tiga meter di beberapa kawasan. Penduduk terpaksa berjalan melalui air setinggi pinggang di jalan-jalan banjir, manakala aras bawah kedai turut tenggelam.
Beberapa kilometer jalan rosak atau tersumbat akibat banjir dan tanah runtuh. Lebih 5,000 hektar tanaman musnah manakala lebih 16,000 ekor ternakan mati akibat bencana itu.
Paras banjir di stesen pengukur sungai Thu Bon, yang mengalir melalui Danang dan bermuara di Hoi An, melepasi paras sejarah 1964 sebanyak empat sentimeter, mencapai 5.62 meter pada lewat Rabu, menurut Jabatan Meteorologi Vietnam.
“Biasanya banjir hanya berlaku selama tiga hari dan kemudian kita boleh mula membersihkan kawasan. Saya rasa saya tidak pernah mengalami banjir yang berpanjangan dan setinggi ini dalam hidup saya,” kata seorang penduduk Danang, Le Thi Thi, 58.
Peramal cuaca berkata, paras air mula surut secara perlahan di Danang dan Hue tetapi masih kekal pada tahap membimbangkan.
Saintis menegaskan perubahan iklim yang dipacu manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti ribut dan banjir lebih berbahaya dan merosakkan.
Dalam sembilan bulan pertama tahun ini, bencana alam di Vietnam, kebanyakannya ribut, banjir dan tanah runtuh, telah meragut atau menyebabkan 187 orang hilang.










