WASHINGTON: Pentagon pada Jumaat mengarahkan penghantaran sejumlah kapal pengangkut bagi membanteras organisasi pengedaran dadah di Amerika Latin, langkah yang dianggap Venezuela sebagai ‘sengaja mahu berperang’ oleh pentadbiran Washington.
Presiden Donald Trump yang berjanji untuk mengakhiri campur tangan ketenteraan luar pada awal September melancarkan kempen ketenteraan menyasarkan bot yang didakwa digunakan untuk menyeludup dadah, memusnahkan sekurang-kurangnya 10 kapal dalam beberapa serangan.
Namun, pengumpulan kekuatan ketenteraan AS termasuk 10 pesawat pejuang F-35 dan lapan kapal tentera laut menimbulkan kebimbangan di Venezuela dengan matlamat Washington untuk menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro.
Maduro menuduh pentadbiran Trump menyemarakkan ‘perang abadi baharu’.
“Mereka (AS) berjanji tidak akan campur tangan lagi dalam perang, tetapi kini mereka mencipta perang yang akan kita cegah,” kata Maduro.
Ketegangan antara AS dan Venezuela turut menarik perhatian Colombia apabila Presiden Gustavo Petro disenarai hitam oleh Washington kerana didakwa membenarkan kegiatan pengedaran dadah berkembang.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell berkata, penghantaran USS Gerald R Ford berserta kapal-kapal lain akan meningkatkan dan memperkukuh kemampuan sedia ada untuk menggagalkan pengedaran dadah serta memusnah dan membongkar organisasi jenayah transnasional (TCO).
Sekurang-kurangnya 43 individu maut hasil kempen AS, namun Washington belum mengemukakan bukti bahawa sasaran mereka terlibat dalam penyeludupan dadah.
Ketegangan serantau semakin meningkat apabila Caracas menuduh AS berkonspirasi menyingkirkan Maduro, yang sebelum ini mendedahkan Venezuela memiliki 5,000 peluru berpandu permukaan-ke-udara mudah alih buatan Russia bagi menangkis serangan AS.
Brazil turut mengkritik tindakan AS, dengan penasihat dasar luar negara itu menyifatkan sebarang campur tangan tentera sebagai tidak boleh diterima kerana berisiko mencetuskan kemarahan di seluruh Amerika Selatan.









