PARIS: Di tengah hiruk-pikuk kota Paris yang semakin digital, seorang lelaki bernama Ali Akbar, 73 tahun, terus setia menjual akhbar dengan cara lama iaitu berjalan kaki dari satu kafe ke kafe lain sambil melaungkan tajuk-tajuk berita jenaka untuk menarik perhatian.
Dengan gaya bersahajai, Ali menjadi figura ikonik di kawasan Left Bank, pusat budaya dan intelektual ibu kota Perancis. Pelancong dan penduduk tempatan mengenalinya bukan sekadar sebagai penjual akhbar, tetapi sebagai simbol semangat dan tradisi yang kian pupus.
“Kalau Ali tak muncul, orang akan tertanya-tanya. Dia jadi sebahagian daripada kawasan ini,” kata Amina Qissi, seorang pelayan restoran di sekitar Marche Saint-Germain yang mengenali Ali lebih dua dekad.
Ali yang sentiasa menjinjit naskhah Le Monde di bawah lengannya kini dianggap legenda jalanan Paris. Pengaruhnya begitu kuat hingga Presiden Emmanuel Macron mengumumkan hasrat untuk menganugerahkan beliau gelaran kesatria dalam Order of National Merit, sebagai pengiktirafan terhadap khidmatnya kepada negara.
Ali tiba di Perancis dari Pakistan pada usia 20 tahun untuk mencari rezeki buat keluarganya. Bermula sebagai kelasi dan pencuci pinggan, dia akhirnya menemui jalannya di Paris apabila bertemu pelawak terkenal Georges Bernier, yang membuka peluang menjual akhbar satira seperti Hara-Kiri dan Charlie Hebdo.
Sejak tahun 1970-an, Ali menjaja akhbar di sekitar kawasan universiti seperti Sciences Po, sambil mempelajari bahasa Perancis dan pada 1980-an, dia mula mencipta tajuk-tajuk berita sensasi dan lucu sebagai taktik jualan.
“Saya hanya mahu orang tersenyum. Saya buat begini supaya hari mereka jadi lebih ceria. Tapi sekarang, sukar nak cari lawak yang mengena, dunia makin serabut,” katanya.
Meski hanya menerima pencen bulanan sekitar 1,000 euro (RM4,936), Ali masih setia menjaja akhbar setiap hari dari 3 petang hingga 10 malam. Jika dahulu dia mampu menjual hingga 200 naskhah sehari, kini jumlah itu menjunam kepada sekitar 30 naskhah sahaja.










