WASHINGTON: Puluhan kumpulan hak asasi manusia, keagamaan dan dasar berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengecam tindakan Presiden, Donald Trump memperluas operasi ketenteraan di Caribbean, memberi amaran langkah itu boleh mencetuskan perang besar-besaran tanpa had di rantau tersebut.
Dalam surat terbuka kepada Kongres pada Rabu, hampir 60 organisasi termasuk Oxfam America, Human Rights First, Maryknoll Office for Global Concerns dan American Friends Service Committee mengutuk siri serangan kapal di Caribbean yang dilakukan tentera AS sejak September, termasuk sekurang-kurangnya tiga kapal dari Venezuela yang mengorbankan lebih 20 orang.
Menurut kumpulan tersebut, tindakan ketenteraan itu merupakan serangan maut pertama oleh AS di Caribbean dalam tempoh beberapa dekad, dan didakwa dilakukan atas alasan memerangi kartel dadah.
“Pentadbiran Trump tidak memberikan sebarang justifikasi sah di sisi undang-undang atau bukti kukuh mangsa-mangsa ini merupakan ancaman terhadap keselamatan AS,” kata surat berkenaan.
Surat itu turut menggesa ahli-ahli Kongres supaya menyekat penggunaan kekerasan yang disifatkan sebagai tidak sah dan tidak dibenarkan undang-undang.
“Kami bimbang, tanpa tindakan tegas Kongres, lebih banyak serangan, pembunuhan luar undang-undang dan akhirnya perang penuh tanpa had boleh tercetus dengan kesan kemanusiaan dan geopolitik yang amat besar,” tegas mereka lagi.
Amaran tersebut dikeluarkan menjelang pengundian Resolusi Kuasa Perang yang dibawa oleh Senator, Tim Kaine dan Adam Schiff, bagi menyekat operasi ketenteraan AS di Caribbean.
Schiff berkata, beliau dan Kaine akan mendesak undian bagi menghalang kerajaan melaksanakan serangan maut terhadap kapal di Caribbean.
“Jika seorang Presiden boleh sewenang-wenangnya menandakan seseorang atau kumpulan sebagai sasaran dan membunuh mereka, maka tiada lagi had sebenar terhadap penggunaan kekerasan,” tegasnya.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memulihkan kuasa Kongres terhadap keputusan ketenteraan, sekali gus menghentikan penglibatan tentera AS tanpa kelulusan rasmi.
Laporan The New York Times pada Julai lalu mendakwa Trump menandatangani arahan sulit yang membenarkan operasi ketenteraan langsung di laut dan di wilayah asing terhadap kartel dadah.
Beberapa minggu kemudian, kapal perang, pesawat dan lebih 4,000 anggota tentera AS dikerahkan ke Caribbean selatan, sebelum empat serangan pertama dilancarkan dua minggu selepas itu.










