GAZA: Selepas pengisytiharan gencatan senjata antara tentera Israel dan Hamas, lebih 500,000 penduduk Palestin kembali ke Gaza City.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, situasi kembali reda sejak Jumaat lalu, menyaksikan satu pergerakan besar penduduk berlaku di seluruh Gaza dengan tumpuan ke Gaza City.
“Lebih daripada setengah juta orang sudah kembali ke Gaza City walaupun sudah tiada apa yang tinggal, inilah rumah kami,” katanya.
Namun, di sebalik kegembiraan dapat pulang ke rumah sendiri, Mahmud memberitahu, sekurang-kurangnya 9,500 orang masih hilang dipercayai berada di bawah runtuhan bangunan di seluruh Gaza.
Katanya, pasukan penyelamat sudah memulakan operasi dengan setakat ini menemui sebanyak 155 mayat.
Sebanyak 75 panggilan kecemasan diterima sejak awal pagi Sabtu dan agensi pertahanan awam menyeru Palang Merah untuk bekerjasama dengan Israel dalam pencarian orang hilang berikutan kekurangan sumber dan peralatan menyukarkan usaha menarik semua mayat keluar dari runtuhan.
KEKURANGAN BARANGAN ASAS
Para penduduk yang kembali mula mendirikan khemah sementara di atas runtuhan, namun mereka kekurangan perlindungan yang selamat kerana bantuan antarabangsa masuk secara berperingkat sejak Ahad.
Sebelum gencatan senjata berkuat kuasa, kira-kira 700,000 orang terpaksa meninggalkan Gaza City dan wilayah utara akibat serangan bertali arus tentera Israel.
Di selatan, Datuk Bandar wilayah Khan Younis menyatakan 85 peratus kawasan’ rata sepenuhnya’.
Katanya sekitar 400,000 tan serpihan perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan semula boleh bermula.
Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel menetapkan peningkatan penghantaran bantuan ke Gaza dan membuka semula sempadan Rafah bersama Mesir.
Namun, persoalan besar timbul mengenai bagaimana bantuan akan diedarkan dan agensi mana yang dibenarkan bertindak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 170,000 tan bahan bantuan terdiri daripada makanan, bahan perlindungan dan ubat-ubatan kini disimpan di gudang luar Gaza, sementara pekerja bantuan bersedia untuk segera memasuki wilayah.

Dalam fasa pertama pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sempadan Gaza dibuka sepenuhnya pada Isnin, membenarkan 400 trak bantuan sehari, angka yang diunjurkan meningkat kepada 600 trak dalam beberapa hari berikutnya.
Jurucakap PBB, Stephane Dujjaric, berkata rundingan masih dijalankan dengan Israel untuk menentukan jumlah dan kekerapan bantuan, serta pembukaan lebih banyak laluan ke dalam wilayah berkenaan.
“Apa yang berubah ialah ‘senjata semakin senyap, sekali gus membolehkan kami untuk beroperasi dan menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk yang amat memerlukan,” katanya.
Agensi pelarian Palestin, UNRWA pula menyatakan mereka mempunyai bekalan mencukupi di gudang bagi 6,000 trak bantuan dan bersedia memulakan pengagihan segera dalam Gaza.
Pengarah Urusan UNRWA di Gaza, Sam Rose berkata mereka berdepan kekangan operasi disebabkan larangan Israel terhadap aktiviti mereka di wilayah pendudukan, tetapi larangan itu tidak meliputi kem dalam Gaza.
“Kami mahu UNRWA dibenarkan mengagihkan bekalan setelah ia sampai ke Gaza. Undang-undang tidak melarang aktiviti kami dalam wilayah.
“Kami mempunyai jangka hayat makanan untuk menyokong penduduk selama dua hingga tiga bulan dan inilah masa untuk bertindak secara berskala besar,” kata Rose.
BANTUAN MULA MASUK GAZA
Trak bantuan mula memasuki Gaza semalam ketika agensi-agensi PBB bersedia meningkatkan penghantaran secara besar-besaran mengikut perjanjian gencatan senjata dipersetujui.
Peningkatan bantuan ini bertepatan dengan pengumuman Hamas yang membebaskan tabusan mengikut persetujuan dicapai.
OPERASI GHF DAN CABARAN LOGISTIK
Ketika PBB bersiap mengambil alih pengagihan bantuan, Gaza Humanitarian Foundation (GHF) iaitu kontraktor swasta yang pernah dikritik akan menutup sementara operasi mereka.
Tentera Israel sebelum ini pernah menembak pencari bantuan di lokasi pengagihan, kejadian yang digambarkan oleh seorang pegawai PBB sebagai ‘perangkap maut sadistik’.

Pasukan bantuan swasta menyatakan khemah, treler dan bahan pembinaan tempat perlindungan kini menjadi keutamaan tambahan selain diikuti keperluan bekalan perubatan dan doktor terutama ketika musim sejuk semakin hampir menghampiri.
Menurut Mohammad Zaqout, pengarah hospital di Gaza, bahan perubatan dan ubat sangat diperlukan tetapi belum tiba dimana-mana hospital.
NETANYAHU BERDEGIL
Ketika rakyat Gaza bersiap sedia memulakan ‘kehidupan baharu’, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus angkuh apabila menyatakan misi perang di Palestin belum ‘berakhir sepenuhnya.
“Di sebalik apa yang berlaku, ancaman terhadap negara kita tetap ada, keselamatan negara kita boleh terjejas bila-bila masa, jadi misi ketenteraan belum tamat.
“Kita (Israel) akan sentiasa bersedia mempertahankan keselamatan negara daripada sebarang ancaman,” katanya ketika berucap sempena pembebasan tebusan Israel oleh kumpulan pejuang Hamas.










