DONCASTER: Seorang datuk berusia 89 tahun dari Doncaster, United Kingdom (UK) maut dalam satu insiden kebakaran ngeri apabila pakaiannya terbakar akibat sisa krim pelembap yang mudah terbakar pada kulitnya.
James Rownsley menyalakan pemanas gas di rumahnya di Mexborough, berhampiran Doncaster, pada Februari lalu sementara menunggu sistem pemanas rumahnya berfungsi.
Namun, satu percikan api dari pemanas kecil itu mengenai pakaiannya lalu menyebabkan kebakaran besar yang tidak sempat dipadam.
Menurut koroner Nicola Mundy, Rownsley rebah ke lantai dan meninggal dunia akibat lecur tahap teruk selepas api merebak dengan pantas ke seluruh badannya.
Pemeriksaan forensik mendapati krim emolien yang digunakan Rownsley dipercayai untuk merawat masalah kulit merupakan punca kebakaran.
Emolien seperti ini sering mengandungi bahan parafin yang sangat mudah terbakar dan sisa krim boleh melekat pada pakaian serta fabrik, walaupun selepas dicuci.
“Kebakaran berlaku dengan sangat cepat sebaik sahaja fabrik terkena api,” jelas pihak penyiasat kebakaran.
Mereka turut menyatakan risiko bahan ini terbakar masih tidak difahami sepenuhnya oleh orang ramai, termasuk penjaga dan penasihat kesihatan










