UNSC kecam serangan ke atas Qatar, tidak salahkan Israel

UNSC kecam serangan ke atas Qatar, tidak salahkan Israel

RIBUAN menghadiri pengebumian mangsa yang terbunuh dalam serangan Israel terhadap tokoh Hamas di Masjid Sheikh Mohammed bin Abdul Wahhab, Doha, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNSC) mengutuk serangan ke atas Qatar awal minggu ini dan menyeru agar ketegangan segera diredakan, namun tidak menyebut Israel sebagai pihak bertanggung jawab melancarkan serangan tersebut.

Ketetapan yang dibuat dalam satu kenyataan sebulat suara oleh kesemua 15 negara anggota, termasuk Amerika Syarikat (AS) iaitu sekutu rapat Israel itu sekadar menekankan kepentingan usaha mengurangkan ketegangan dan menyatakan solidariti dengan Qatar selain menegaskan sokongan mereka terhadap kedaulatan serta keutuhan wilayah tersebut.

Pada Selasa, Israel melancarkan serangan luar biasa ke atas ibu negara Qatar, Doha, dengan menyasarkan pemimpin Hamas. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kumpulan pejuang itu berkata, pegawai tertinggi mereka terselamat, namun lima anggotanya terbunuh bersama seorang anggota pasukan keselamatan Qatar.

Kenyataan UNSC menggambarkan Doha sebagai wilayah pengantara utama dalam rundingan damai antara Israel dan Hamas, bersama Mesir dan AS.

“Anggota majlis menekankan pembebasan tebusan, termasuk mereka yang terbunuh oleh Hamas, serta penamatan perang dan penderitaan di Gaza mesti kekal menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu lagi.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani yang berangkat ke New York untuk mesyuarat tergempar itu, mengalu-alukan sokongan UNSC dan mengulangi komitmen negaranya untuk bertindak sebagai pengantara dalam konflik tersebut.

“Kami akan terus memainkan peranan kemanusiaan dan diplomatik tanpa sebarang keraguan, demi menghentikan pertumpahan darah. Pada masa yang sama, kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas kedaulatan kami. 

“Kami berhak untuk bertindak balas menggunakan saluran yang dijamin undang-undang antarabangsa,” katanya sehari selepas beliau memberi isyarat kemungkinan menilai semula peranan mediasi negaranya.

Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan tindak balas Israel selepas itu, UNSC sering buntu dalam menangani isu ini akibat veto berulang oleh AS dan beberapa anggota lain.

Meskipun menyokong Israel, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau tidak berpuas hati dengan serangan di Doha, yang menyasarkan kompleks kediaman pegawai Hamas di tengah kota.

Dalam mesyuarat UNSC mengenai serangan itu, Duta Sementara AS, Dorothy Shea mendakwa serangan di Qatar tidak mencerminkan matlamat utama Israel.

“Pengeboman unilateral di dalam Qatar, sebuah negara berdaulat yang bekerja keras dan berani mengambil risiko bersama kami untuk menjadi pengantara damai, tidak membantu matlamat Israel mahupun AS.

“Namun begitu, adalah tidak wajar bagi mana-mana anggota menggunakan isu ini untuk mempersoalkan komitmen Israel dalam usaha membawa pulang tebusan mereka.

“Menghapuskan Hamas yang meraih keuntungan daripada penderitaan penduduk Gaza, adalah matlamat yang wajar,” katanya.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai kejadian malang tetapi menambah Trump percaya ia boleh dijadikan peluang untuk keamanan-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×