Ujian DNA tentukan kesahihan jantung Haddow

Ujian DNA tentukan kesahihan jantung Haddow

PEGUAM keluarga Byron Haddow, Ni Luh Arie Ratna Sukasari (tengah) menyatakan terdapat kemungkinan jantung yang dipulangkan dua bulan selepas kematian Haddow bukan miliknya. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Ujian DNA dijalankan terhadap jantung yang didakwa milik Byron Haddow, seorang lelaki dari Queensland, Australia yang meninggal dunia di Bali pada Mei lalu.

Haddow, 23, ditemui tidak bernyawa di kolam rendam vila sewanya ketika bercuti. Mayatnya dihantar pulang ke Australia empat minggu kemudian, namun bedah siasat kedua mendapati jantungnya tiada.

Peguam keluarga di Bali, Ni Luh Arie Ratna Sukasari, memaklumkan kepada The Guardian Australia terdapat kemungkinan jantung yang dipulangkan dua bulan selepas kematian Haddow bukan miliknya.

“Kemungkinan ini giat disiasat. Jantung yang dipulangkan kini melalui ujian DNA di Queensland bagi mengesahkan ia benar-benar milik Byron. Keluarga menuntut kepastian, ketelusan penuh dan maruah untuk anak mereka,” katanya pada Khamis.

Hospital Prof Ngoerah di Bali yang melakukan bedah siasat menafikan tuduhan terlibat dalam kecurian organ selepas pihak berkuasa Australia meminta penjelasan daripada rakan sejawat Indonesia.

Pengarah Perubatan, Kejururawatan dan Sokongan hospital itu, I Made Darmajaya, menegaskan dakwaan kecurian organ adalah tidak benar.

“Saya menekankan, bagi pihak Hospital Prof Ngoerah, khabar angin mengenai kecurian organ adalah palsu,” katanya kepada media.

Beliau menjelaskan jantung Haddow dihantar pulang ke Australia lebih lewat kerana proses pematuhan keperluan patologi mengambil masa.

Namun, Ni Luh Arie Ratna Sukasari berkata satu lagi bedah siasat pada jantung berkenaan telah dilakukan di Bali tanpa pengetahuan atau kebenaran keluarga, dan hospital tidak memberikan penjelasan memadai.

“Sebaliknya, mereka menguruskan pemulangan organ itu dan turut menuntut bayaran tambahan sebanyak A$700 (RM2,954) untuk penghantaran,” jelasnya.

Keluarga Haddow kini mendesak siasatan polis bebas dijalankan dan menuntut pihak Hospital Prof Ngoerah memberi penjelasan terperinci mengenai prosedur ke atas tubuh si mati, khususnya berkaitan pemindahan dan penyimpanan jantung Byron tanpa kebenaran keluarga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×