ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan negaranya tidak akan menyerahkan walau sebutir batu yang menjadi milik Baitulmuqaddis kepada Israel, termasuk Prasasti Silvan yang kini tersimpan di Muzium Arkeologi Istanbul.
Berucap pada Festival Teknologi, Penerbangan dan Angkasa (TEKNOFEST) di Lapangan Terbang Ataturk, Erdogan berkata kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mendakwa tidak mendapat prasasti berkenaan adalah tidak lain kerana Turkiye enggan tunduk kepada permintaan rejim tersebut.
“Dia (Netanyahu) marah kepada kita kerana kita tidak memberinya Prasasti Silvan, warisan daripada nenek moyang kita. Mereka mengidamkannya, tetapi kami tidak akan serahkan walau sebutir batu pun milik Baitulmuqaddis,” katanya.
Prasasti Silvan merupakan salah satu inskripsi Ibrani kuno paling penting yang ditemui di Baitulmuqaddis Timur ketika zaman Uthmaniyah sebelum dibawa ke Istanbul.
Netanyahu sebelum ini mengaku telah membuat permintaan rasmi untuk mendapatkannya, namun dihalang oleh Erdogan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Erdogan menyifatkan Netanyahu sebagai ‘pembunuh’ yang mempunyai darah 65,000 penduduk Gaza tidak berdosa di tangannya.
“Quds adalah maruah, kehormatan dan kebanggaan seluruh umat manusia termasuk umat Islam. Menentang segala tipu muslihat, perjuangan Turkiye akan diteruskan sehingga tertegaknya sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, berlandaskan sempadan 1967,” tegas beliau.
Festival tersebut yang berlangsung dari 17 hingga 21 September dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Industri dan Teknologi Turkiye serta Yayasan T3, dan dikenali sebagai festival teknologi terbesar dunia. -AGENSI










