WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melancarkan operasi penguatkuasaan imigresen berskala besar di Chicago yang dinamakan “Operation Midway Blitz”, dengan sasaran utama golongan pendatang tanpa dokumen yang dituduh sebagai penjenayah berbahaya.
Langkah ini diumumkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) sebagai tindak balas terhadap dasar suaka negeri Illinois yang dikatakan ‘melindungi penjenayah antarabangsa’.
Dalam kenyataan rasmi, Trump menuduh Gabenor Illinois, JB Pritzker dan pemimpin tempatan sebagai bertanggungjawab melepaskan anggota geng Tren de Aragua, perogol, penculik dan pengedar dadah ke jalanan Chicago, sekali gus meletakkan nyawa rakyat AS dalam bahaya.
Pritzker segera membalas tuduhan itu di media sosial menuduh operasi tersebut sebagai cubaan menakut-nakutkan penduduk Illinois dan mengatakan kerajaan persekutuan tidak melakukan sebarang koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan.
Operasi tersebut, yang disifatkan sebagai satu lagi bab dalam kempen antiimigran Trump menyenaraikan 11 individu yang dituduh sebagai ‘pendatang tanpa izin berbahaya’, lengkap dengan gambar dan rekod jenayah.
Mereka pernah ditahan tetapi dilepaskan kembali oleh pihak berkuasa negeri dan kini diburu semula oleh pasukan imigresen.
Trump terus memperhebat retoriknya terhadap bandar Chicago, yang digambarkan sebagai ‘neraka jenayah bersenjata’.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dan kemarahan rakyat. Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya di Chicago untuk membantah tindakan keras pentadbiran Trump yang disifatkan oleh ramai sebagai serangan terhadap komuniti imigran.
Senator Dick Durbin dari Illinois menyelar operasi itu sebagai satu lagi taktik mengalihkan perhatian daripada kegagalan polisi sebenar, sambil menegaskan bahawa ramai yang menjadi sasaran adalah pendatang yang bekerja keras dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Trump, bagaimanapun, mempertahankan tindakannya dan berkata beliau hanya mahu membantu rakyat Chicago dengan menyingkirkan penjenayah.










