WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan beliau tidak akan membenarkan Israel meneruskan rancangan untuk merampas Tebing Barat.
“Saya tidak akan benarkan Israel rampas Tebing Barat. Tidak, saya tidak akan benarkan. Ia tidak akan berlaku. Cukuplah. Masa untuk hentikan sekarang,” kata Trump kepada media di Pejabat Oval semalam.
Beliau berkata, sebarang langkah untuk merampas sepenuhnya Tebing Barat hanya akan menghancurkan harapan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaya maju.
Kenyataan itu dibuat ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berada di New York untuk menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Setakat ini, pejabat Netanyahu masih belum memberikan sebarang respons terhadap kenyataan Trump.
Israel sebelum ini telah merampas Tebing Barat dalam perang tahun 1967, dan sejak itu telah membina ratusan penempatan Yahudi di wilayah tersebut, lengkap dengan jalan raya dan infrastruktur yang terus mencengkam kawasan yang dituntut rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada negara masa depan mereka.
Pada Ogos lalu, projek penempatan kontroversi E1 menerima kelulusan akhir meskipun dikecam hebat masyarakat antarabangsa kerana dijangka akan memecah-belahkan wilayah Tebing Barat serta memutuskan hubungan kawasan itu dengan Baitulmuqaddis Timur yang turut dituntut Palestin sebagai ibu negara.
Ketika ini, dianggarkan lebih 700,000 peneroka Israel tinggal di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, manakala seramai 2.7 juta rakyat Palestin turut mendiami wilayah berkenaan. Namun, langkah Israel untuk menguasai sepenuhnya kawasan itu tidak pernah diiktiraf oleh majoriti negara di dunia.










