WASHINGTON: Sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali ke Rumah Putih, setiap tindakan dan langkah yang diumumkan membuatkan sekutu lama Washington berasa semakin tertekan.
Dari serangan udara Israel di Qatar, dron Russia jatuh di Poland, hingga sekatan baharu terhadap India dan serbuan imigresen ke atas pekerja Korea Selatan, banyak negara mendapati persahabatan dengan AS di bawah Trump tidak lagi membawa jaminan seperti dahulu.
Russia, yang menolak rayuan Trump supaya menghentikan perang di Ukraine, dilaporkan melancarkan 17 dron yang jatuh pada Rabu di Poland, sebuah negara yang keselamatannya dijamin oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang disokong AS.
Presidennya, Donald Tusk baru sahaja melawat Rumah Putih minggu sebelumnya.
Sehari sebelumnya pula, Qatar yang menjadi tuan rumah pangkalan udara terbesar AS di Asia Barat dan diiktiraf Washington sebagai sekutu utama bukan NATO menjadi sasaran serangan udara Israel yang menyasarkan pejuang Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang rapat dengan blok politik Trump, tetap melancarkan serangan meskipun Qatar selama ini berusaha memikat Presiden AS itu, termasuk dengan pemberian hadiah kontroversi jet mewah.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga, pegawai imigresen AS melaksanakan janji Trump mengenai pengusiran besar-besaran migran, menahan ratusan pekerja Korea Selatan di sebuah kilang bateri Hyundai-LG di negeri Georgia.
Tindakan itu mengejutkan negara tersebut yang sebelum ini berjanji meningkatkan pelaburan di AS.
Trump turut meningkatkan sekatan terhadap India, sebuah demokrasi yang lama dianggap Washington sebagai penimbang kepada kuasa besar China, sekali gus mencetuskan kemarahan New Delhi.
Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana pembelian minyak India daripada Russia, meskipun dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, Trump lebih memilih pendekatan diplomasi.
Trump kelihatan tersinggung apabila Perdana Menteri India, Narendra Modi memperkecilkan usaha AS dalam rundingan gencatan senjata India-Pakistan, berbeza dengan pemimpin lain yang berlumba-lumba mengucapkan tahniah kepadanya.
“Konteks lebih besar di sini adalah kelemahan, kekacauan dan keangkuhan.
“Netanyahu dan Putin sedang mengambil kesempatan, menghidu kelemahan dan melakukan perkara yang sepatutnya mereka tidak boleh lakukan,” kata, bekas pembantu Kongres, Damian Murphy yang kini Naib Presiden kanan di Center for American Progress, sebuah kumpulan berhaluan kiri.
Murphy menegaskan, perkembangan itu bercanggah dengan dakwaan Trump kononnya Putin tidak akan menceroboh Ukraine pada 2022 jika beliau menjadi Presiden ketika itu dan bukannya Joe Biden.
“Kian jelas, kita melihat kerajaan di seluruh dunia menguji kelemahan dan mencabar pentadbiran ini,” katanya.
Tiada lagi polis dunia
Trump dan para penasihatnya menegaskan mereka hanya mengutamakan kepentingan teras AS dan mahu mengurangkan komitmen luar negara yang dianggap membazir serta tidak perlu.
Pendirian itu berbeza dengan Biden yang menekankan kepentingan pakatan antarabangsa.
Dalam isu Korea Selatan dan India, pegawai Trump berhujah beliau menuntut rakan-rakan kongsi AS memenuhi piawaian yang sama atau lebih tinggi seperti dijangkakan daripada semua pihak.
Beliau malah mencadangkan dron Russia di Poland mungkin sekadar kesilapan, sesuatu yang disangkal oleh Warsaw.
Utusan khas Trump ke Ukraine, Keith Kellogg, melawat Kyiv dan menyatakan beliau sedang menjalankan ‘diplomasi America First’ dengan terus mencari jalan mencapai keamanan di luar negara dan menghentikan perang tanpa kesudahan.
Trump mengakui terdapat kebimbangan mengenai serangan Israel di Qatar dimana ketika itu pemimpin Hamas sedang membincangkan cadangan gencatan senjata baharu oleh AS di Gaza.
Tetapi Trump memberi alasan Washington tidak mampu menghalang serangan itu kerana sudah terlalu lewat ketika mendapat laporan mengenainya.
Insiden itu mengingatkan kembali pada bulan Jun lalu, apabila Israel menyerang tapak nuklear Iran ketika AS sedang giat menjalankan rundingan diplomasi dengan Teheran.
Ahli Sains Politik Universiti Chicago, Paul Poast berkata, bagi Russia dan Israel, terdapat persepsi Trump akan membiarkan sesetengah tindakan tanpa hukuman.
“Netanyahu menjangkakan Trump akhirnya tetap akan menyokong Israel meski pun berang, manakala Putin percaya beliau boleh terus menguji batas selagi Trump masih berharap dapat menjadi pengantara perjanjian,” katanya.
Namun Poast juga menegaskan, dunia kini menyaksikan lebih banyak konflik berbanding mana-mana waktu sejak Perang Dunia Kedua, satu keadaan huru-hara yang pernah ditekankan Trump sendiri ketika berkempen.
“Tindak-tanduk Trump juga membuatkan AS tidak lagi menjadi kuasa tunggal yang dominan, seiring kebangkitan China dan ketegasan Russia.
“Saya fikir ini adalah insiden kecil daripada trend jauh lebih besar, iaitu semakin ramai negara dan pihak berani melakukan tindakan ketenteraan kerana ketiadaan tahap penglibatan AS untuk menjadi ‘polis dunia’,” katanya.-AFP










