BEIJING: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menghadiri perarakan ketenteraan memperingati 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua di China pada Rabu, walaupun sebelum ini membatalkan lawatannya susulan gelombang protes berdarah di tanah air.
Beliau tiba di Beijing pagi Rabu, menurut Kementerian Luar China yang menyatakan pihaknya mengalu-alukan kehadiran tersebut.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu digoncang protes besar-besaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, berpunca daripada pemberian pelbagai keistimewaan mewah kepada ahli Parlimen.
Prabowo terpaksa menarik balik sebahagian daripada insentif tersebut selepas demonstrasi meletus.
Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi, berkata, Prabowo menerima laporan keadaan dalam negeri sudah kembali stabil, maka beliau memutuskan untuk berangkat malam tadi.
“Beliau memantau keadaan hari ini dan menerima laporan daripada semua pihak berkaitan yang kehidupan awam beransur-ansur kembali normal,” kata Prasetyo.
Menurutnya, Prabowo dan Presiden China, Xi Jinping dijangka mengadakan pertemuan sepanjang lawatan tersebut.
Prabowo antara lebih 25 pemimpin termasuk Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Russia, Vladimir Putin yang dilihat menghadiri perarakan di Dataran Tiananmen pada Rabu.
Jinping menjemput Prabowo bagi menghadiri acara besar tersebut, di mana China mempamerkan keupayaan ketenteraannya dengan perarakan perbarisan, pertunjukan udara dan pameran peralatan peperangan berteknologi tinggi.
Jutaan rakyat China terbunuh ketika perang berlarutan dengan Jepun imperial pada era 1930-an dan 1940-an, yang menjadi sebahagian daripada konflik global selepas serangan Tokyo ke atas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Pearl Harbor pada 1941.
Indonesia mengekalkan dasar luar berkecuali dengan menjalin hubungan baik bersama Washington dan Beijing.
Namun, Prabowo berikrar untuk mengukuhkan hubungan serta kerjasama pertahanan dengan China.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono, mewakili Prabowo di sidang kemuncak SCO yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 1 September.-AGENSI










