Tentera Zionis lancar serangan hampir di semua 'zon selamat' Gaza - Utusan Malaysia

Tentera Zionis lancar serangan hampir di semua ‘zon selamat’ Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan darat oleh tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, termasuk 45 orang di Gaza City.

Serangan itu berlaku walaupun Israel sebelum ini mengarahkan orang awam berpindah ke kawasan tengah dan selatan Gaza, yang digambarkan sebagai zon “selamat”. Namun, serangan berterusan di kawasan tersebut mencetuskan kemarahan pihak berkuasa tempatan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menyifatkan arahan pemindahan itu sebagai taktik penipuan dan mendakwa serangan ke atas kawasan kononnya “selamat” membuktikan orang awam menjadi sasaran secara langsung.

Dalam satu kenyataan, pejabat itu mendedahkan bahawa sejak 11 Ogos, lebih 1,903 orang terbunuh dalam 133 serangan di kawasan tengah dan selatan Gaza, iaitu hampir separuh daripada jumlah kematian di seluruh wilayah tersebut dalam tempoh itu.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, melaporkan bahawa serangan udara dan dron Israel semakin kerap sejak awal pagi Sabtu, menyebabkan lebih ramai mangsa dibawa ke Hospital al-Shifa di Gaza City.

“Dalam beberapa minit lalu, kami menerima pengesahan bahawa sebuah keluarga yang sedang berpindah menaiki kenderaan telah diserang oleh dron. Empat daripada mereka maut di tempat kejadian,” katanya.

Dalam masa sama, ratusan penduduk terpaksa berpindah berulang kali kerana diburu oleh serangan dari udara dan darat, tanpa tempat perlindungan yang selamat.

Hospital-hospital utama di Gaza City juga tidak terkecuali. Hospital Lapangan Jordan terpaksa mengosongkan kesemua 107 pesakit dan kakitangan selepas menghadapi pengeboman berat.

Dr Khalil Digran, dari Hospital al-Aqsa, berkata bahawa tentera Israel menyasarkan Hospital Kanak-Kanak al-Rantisi, satu-satunya hospital khusus untuk kanak-kanak di Gaza, sambil memberi amaran bahawa dua hospital terakhir di utara Gaza hampir lumpuh sepenuhnya.

Kemudahan kesihatan yang masih beroperasi di kawasan tengah dan selatan kini terlalu sesak dan kekurangan bekalan asas, termasuk ubat-ubatan, antibiotik, dan juga makanan untuk kakitangan perubatan dan pesakit.

Seorang penduduk yang dipindahkan memberitahu Al Jazeera satu katil kini digunakan untuk dua pesakit. Keadaan dalam hospital sangat menyedihkan.

Mohammad Khoudary, juga mangsa pelarian dalaman, berkata bahawa bapanya yang uzur telah jatuh sakit sejak pemindahan paksa berlaku. “Saya harap mereka boleh pindahkan ayah saya ke Hospital al-Aqsa sebelum keadaan bertambah buruk.”

Pejabat Media Gaza sekali lagi menyeru campur tangan segera komuniti antarabangsa, dan memberi amaran bahawa kegagalan bertindak hanya memberi “lampu hijau” kepada Israel untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×