NEW DELHI: Persatuan Pemilik Hotel Tamil Nadu mengumumkan boikot menyeluruh terhadap produk minuman keluaran Amerika Syarikat (AS) berikutan keputusan Washington mengenakan tarif tinggi terhadap eksport India.
Langkah itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, bulan lalu meningkatkan cukai import terhadap barangan India sebanyak 50 peratus, kadar tertinggi di Asia dan antara paling besar pernah dikenakan pentadbiran AS terhadap rakan dagang utama.
Presiden persatuan tersebut, Venkada Subbu, berkata kempen boikot itu akan dikuatkuasakan di 100,000 hotel restoran di seluruh negeri berpenduduk 70 juta orang itu dalam tempoh dua minggu.
“Ini langkah pertama. Kami akan laksanakan di Tamil Nadu dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh India,” katanya.
Menurut Subbu, syarikat minuman Amerika seperti PepsiCo dan Coca-Cola bukan sahaja menggunakan air dan pembungkusan tempatan, malah meraih keuntungan besar yang dibawa pulang ke negara mereka.
“India mempunyai banyak pilihan minuman keluaran tempatan yang lebih sihat dan berkualiti. Malah syarikat besar seperti Tata dan Reliance turut menghasilkan produk setara. Jadi, industri kami tidak akan terjejas,” jelasnya.
Ini bukan kali pertama syarikat Amerika berdepan tentangan di Tamil Nadu.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi Madras menghalang Coca-Cola dan PepsiCo daripada menggunakan air Sungai Thamirabarani selepas kumpulan pengguna mendakwa ia menjejaskan bekalan untuk petani.
Larangan itu bagaimanapun ditarik balik pada Mac 2017.
Selepas itu, kesatuan perdagangan utama negeri turut melancarkan kempen boikot terhadap dua gergasi minuman berkenaan, namun usaha itu hanya bertahan beberapa minggu sebelum terhenti. -AGENSI










