Singapura desak PBB hadkan penggunaan kuasa veto

Singapura desak PBB hadkan penggunaan kuasa veto

VIVIAN BALAKRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Singapura menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengehadkan penggunaan kuasa veto oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan (UNSC) untuk kekal relevan dalam menangani cabaran global.

Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata, kuasa veto kini digunakan semakin kerap dan secara sinis pada saat konflik antarabangsa memuncak.

“Penggunaan kuasa veto yang semakin meningkat, secara sinis dan ia mesti dikekang,” katanya semasa menyampaikan pernyataan negara di Perhimpunan Agung PBB (NGA).

Katanya, seluruh keanggotaan PBB perlu mencapai persetujuan mengenai had dan garis panduan dalam penggunaan kuasa veto demi kredibiliti institusi tersebut.

Dr Balakrishnan turut menyuarakan keperluan pembaharuan menyeluruh terhadap struktur PBB yang menurutnya tidak lagi mencerminkan realiti dunia hari ini.

“PBB perlu lebih mewakili dan lebih inklusif agar mampu berfungsi untuk dekad-dekad mendatang,” ujarnya.

Lima anggota tetap iaitu China, Perancis, Russia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) memiliki kuasa veto untuk menyekat sebarang resolusi UNSC walaupun disokong oleh majoriti.

Beliau merujuk insiden baru-baru ini apabila AS memveto resolusi gencatan senjata di Gaza walaupun disokong 14 anggota lain.

Menteri itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan pencabulan Piagam PBB, pelanggaran undang-undang antarabangsa, serta tindakan melanggar kedaulatan negara lain.

Singapura, katanya, akan mempertimbangkan semula pendirian terhadap pengiktirafan negara Palestin jika Israel terus menghalang penyelesaian dua negara.

Dr Balakrishnan menegaskan sistem pelbagai hala berasaskan undang-undang antarabangsa masih menjadi harapan terbaik untuk keamanan dan kemakmuran global secara adil dan inklusif.

Beliau menggesa semua negara, termasuk kuasa pertengahan dan negara kecil, untuk memperkukuh komitmen terhadap multilateralisme dan bekerjasama mempertahankan kepentingan global.

“Kita mungkin kecil, tetapi kita ada autonomi strategik dan mampu menyumbang,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, beliau memetik kata-kata mendiang Menteri Luar pertama Singapura, S. Rajaratnam ‘Tanpa PBB, tiada masa depan yang bermakna untuk manusia sejagat.’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN