DOHA: Serangan Israel terhadap Qatar mencerminkan layanan dua darjat yang berterusan oleh masyarakat antarabangsa terhadap rejim Zionis, kata penganalisis Asia Barat, Adam Shapiro, yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan tindakan unilateral oleh Tel Aviv di rantau Teluk.
Katanya, tindakan Israel yang sering melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan sebarang hukuman mencerminkan sikap berat sebelah komuniti global yang seolah-olah membenarkan sebarang tindakan keras oleh rejim itu.
“Pelanggaran yang dilakukan oleh Israel jarang sekali menerima kecaman atau tindakan balas yang setimpal.
“Keadaan ini menunjukkan wujudnya satu piawaian berganda yang jelas dalam sistem antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Shapiro turut mengulas mengenai taktik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dipercayai sengaja tidak memaklumkan serangan terhadap Qatar kepada pihak Amerika Syarikat (AS) lebih awal.
Katanya, langkah itu bertujuan mengelak sebarang tentangan diplomatik daripada Washington.
“Dengan tidak meminta kebenaran atau memaklumkan kepada AS lebih awal, Netanyahu mengelak daripada mendengar jawapan ‘tidak’.
“Beliau memilih untuk berdepan dengan kesan selepas bertindak, kerana Israel sedar mereka jarang dihukum,” jelas Shapiro.
Katanya, Israel secara konsisten menerima ganjaran meskipun selepas melakukan pelanggaran undang-undang, berikutan sikap pasif masyarakat antarabangsa.
“Apa yang tidak boleh dilakukan oleh negara lain, termasuk penggunaan kekerasan secara sewenang-wenangnya namun Israel seringkali dapat melakukannya tanpa sebarang akibat yang berat.
“Ini adalah hasil daripada sistem antarabangsa yang tidak konsisten dan berpihak,” katanya.
Shapiro memberi amaran selagi layanan dua darjat ini berterusan, ia akan memburukkan lagi ketegangan global serta menghakis kepercayaan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa dan keadilan sejagat.
Kerajaan Qatar dalam kenyataan terbaharu mengecam keras serangan Israel dan menyifatkannya sebagai pencabulan kedaulatan serta satu tindakan provokatif yang boleh mengancam kestabilan serantau.
Qatar turut menolak kenyataan Netanyahu yang mendesak negara Teluk itu supaya mengusir anggota Hamas dari wilayahnya.
Doha menyifatkan desakan itu sebagai tidak wajar, bersifat campur tangan dan memperlihatkan Israel cuba mengalihkan perhatian daripada krisis.
Qatar komited terhadap kestabilan serantau dan penyelesaian damai.










