Serangan udara Israel di Gaza berlaku setiap lapan hingga sembilan minit -PBB - Utusan Malaysia

Serangan udara Israel di Gaza berlaku setiap lapan hingga sembilan minit -PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang akibat dahsyat terhadap orang awam di Semenanjung Gaza selepas tentera Israel meningkatkan serangan udara pada kadar yang membimbangkan iaitu setiap lapan hingga sembilan minit.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) ketika sidang media pada Jumaat, menyatakan operasi Israel dalam tempoh 24 jam lalu memberi kesan buruk kepada penduduk awam.

“Secara purata, ini bermakna satu serangan udara setiap lapan atau sembilan minit,” katanya.

Menurut pasukan PBB yang memantau pergerakan penduduk, seramai 16,500 orang dipaksa berpindah dari Gaza Utara ke bahagian selatan hanya pada Khamis lalu.

Dujarric menjelaskan, pekerja bantuan kini ditempatkan di sepanjang laluan pemindahan untuk memberi sokongan segera, termasuk bantuan psikososial, rujukan kepada perkhidmatan khusus apabila diperlukan, serta mendidik pendatang baharu tentang bahaya bahan letupan.

Namun, ratusan ribu penduduk masih terperangkap di Gaza City dalam keadaan tidak selamat, bergantung sepenuhnya pada bantuan kemanusiaan selepas banyak perkhidmatan penting terpaksa ditutup atau dipindahkan.

Mengenai sekatan Israel terhadap akses bantuan, beliau berkata pada Khamis, daripada 15 pergerakan yang cuba diselaraskan dengan pihak berkuasa Israel, hanya tujuh yang dibenarkan sepenuhnya.

“OCHA telah menggesa Israel supaya memudahkan operasi kemanusiaan sepenuhnya, termasuk memastikan bantuan boleh bergerak tanpa halangan masuk dan merentasi Semenanjung Gaza,” katanya.

Mengulas situasi di Tebing Barat yang diduduki, Dujarric berkata lebih 3,000 penduduk Palestin dengan separuh daripadanya kanak-kanak telah dipaksa berpindah akibat serangan penempatan haram Israel dan sekatan akses sejak Oktober 2023. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×