Serangan di Doha adalah keputusan Netanyahu, bukan saya - Trump - Utusan Malaysia

Serangan di Doha adalah keputusan Netanyahu, bukan saya – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Selasa memberikan teguran luar biasa kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung serangan terhadap Hamas di Qatar, sambil menegaskan beliau tidak memainkan sebarang peranan dalam tindakan oleh sekutu rapat AS terhadap sekutu rapat yang lain.

Trump berkata beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan Israel terhadap negara Teluk itu, yang memainkan peranan penting sebagai perantara dalam rundingan antara Israel dan Hamas untuk menamatkan perang di Gaza serta membebaskan tebusan yang ditahan Hamas.

“Saya tidak begitu gembira dengan keseluruhan situasi ini. Kita mahu para tebusan dibebaskan, tetapi kita tidak gembira dengan cara ia berlaku hari ini,” katanya kepada media.

Serangan Israel ke atas Doha dilihat amat sensitif, memandangkan Qatar bukan sahaja memainkan peranan penting dalam rundingan Gaza, malah menempatkan sebuah pangkalan udara besar AS dan pernah menjadi tuan rumah kepada Trump semasa lawatannya ke Asia Barat awal tahun ini.

Negara kaya sumber bahan api fosil itu juga baru-baru ini menghadiahkan sebuah pesawat mewah Boeing 747-8 kepada AS untuk digunakan oleh Trump sebagai pesawat presiden, satu tindakan yang mencetuskan persoalan besar dari segi etika.

“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Netanyahu, bukan oleh saya.

“Saya melihat Qatar sebagai sekutu dan sahabat kuat kepada AS, dan saya benar-benar kesal dengan lokasi serangan tersebut,” katanya.

Presiden AS itu menegaskan Washington tidak mengetahui lebih awal mengenai serangan Israel.

Beliau berkata White House “dimaklumkan oleh pihak tentera AS bahawa Israel sedang menyerang Hamas, yang malangnya terletak di sebuah kawasan di Doha.”

“Saya segera mengarahkan Utusan Khas, Steve Witkoff, untuk memaklumkan kepada pihak Qatar tentang serangan yang bakal berlaku, dan beliau telah berbuat demikian, namun malangnya, terlalu lewat untuk menghentikan serangan itu.”

Trump berkata beliau telah bercakap dengan Netanyahu selepas kejadian dan cuba memberikan nada yang positif terhadap insiden tersebut.

Trump turut menambah beliau telah memberi jaminan kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dalam satu panggilan telefon bahawa “kejadian sebegini tidak akan berulang di tanah mereka.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN