PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Addis Ababa, Ethiopia bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari di negara tersebut.
Perdana Menteri berkata, kunjungan beliau ke negara yang kaya sejarah dan budaya itu adalah hasil jemputan rakan sejawatnya iaitu Dr. Abiy Ahmed Ali.
Ia juga merupakan lawatan balas Anwar susulan kunjungan rasmi Abiy ke Malaysia tahun lalu.
“Ia sekali gus mencerminkan tekad bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang kini memasuki usia 60 tahun.
“Satu hubungan yang dibina berteraskan persahabatan tulen, keyakinan bersama dan semangat saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, Malaysia melihat Ethiopia sebagai rakan strategik utama di benua Afrika dan komited untuk memperluas serta memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
“Saya yakin lawatan ini akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik, menghasilkan pencapaian yang konkrit serta melonjakkan hubungan Malaysia dan Ethiopia ke tahap yang lebih cemerlang, berdaya saing dan bermakna,” katanya.
Selepas Ethiopia, Perdana Menteri turut dijadual ke Afrika Selatan dan Kenya.-UTUSAN.










