PETALING JAYA: Pelakon baharu, Ainee Mustafa, berpandangan bahawa persepsi mengenai sukan kecergasan HYROX yang sering dikaitkan dengan golongan T20 ini tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk masyarakat kekal sihat.
Ainee atau Nur Aini Hayati Mustafa, 29, berkata, orang ramai masih boleh memilih senaman lain yang sama fungsinya seperti ‘circuit training’, ‘calisthenics’ atau bersenam di gimnasium.
“Contohnya, kalau HYROX ini untuk T20, yang lain masih boleh buat senaman di gimnasium, ‘circuit training’ atau ‘calisthenics’. Benda yang sama sahaja untuk menjaga kesihatan.
“Bagi saya ia satu perkara yang bagus, lebih-lebih lagi kalau sebelum ini tidak pernah bersukan tetapi tiba-tiba mula berjinak-jinak. Bagus sebenarnya untuk diri dia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, perubahan ke arah gaya hidup sihat wajar diterima secara positif selagi ia memberi manfaat dan tidak mengganggu orang lain.
“Selagi benda itu memberi manfaat kepada orang tersebut dan tidak kacau orang lain, bagi saya tiada masalah,” katanya.
Untuk rekod, Ainee merupakan pelakon baharu yang membintangi filem Tiket Sehala yang akan ditayangkan di pawagam pada 6 Ogos ini.










