MELBOURNE: Memiliki rumah di tepi pantai dahulu dianggap lambang kemewahan dan status, tetapi kajian baharu menunjukkan ia kini boleh menjadi tanda berani mengambil risiko.
Sekumpulan saintis mendapati penempatan di pesisir pantai seluruh dunia semakin terdedah kepada banjir, ribut dan hakisan dan penduduk kini semakin sedar ancaman tersebut.
Menurut kajian itu, lebih separuh penempatan pesisir di dunia sudah berpindah ke kawasan darat untuk mengelakkan bahaya seperti ribut, hakisan dan kenaikan paras laut.
Namun, kawasan termiskin terpaksa kekal atau berpindah lebih dekat ke zon berisiko.
Ketua penyelidik, Prof. Xiaoming Wang dari Universiti Monash, Australia, berkata penduduk kini berdepan risiko semakin serius akibat perubahan iklim.
“Buat pertama kali, kami memetakan bagaimana penempatan manusia di seluruh dunia beralih dari kawasan pesisir.
“Jelas berlaku perpindahan ke darat tetapi hanya bagi mereka yang mampu melakukannya,” katanya.
Kajian terdahulu menunjukkan pemanasan global menyebabkan glasier dan lapisan ais mencair, menambah air ke lautan.
Isipadu air laut mengembang apabila suhu meningkat, sekali gus menaikkan paras laut purata dunia.
Komuniti pesisir adalah yang pertama merasai kesan apabila air laut menenggelami daratan, walaupun saintis memberi amaran penempatan lebih jauh ke darat juga berpotensi terancam pada masa depan.
Pemanasan global turut dikaitkan dengan cuaca ekstrem yang lebih kerap dan ganas, terutamanya di kawasan pesisir, manakala hakisan pantai boleh menyebabkan hartanah runtuh ke laut secara tiba-tiba.
Bagi menilai kesan ancaman ini terhadap corak penempatan manusia, pasukan penyelidik dari China, Indonesia dan Denmark menganalisis hampir tiga dekad (1992–2019) data cahaya malam satelit melibatkan 1,071 kawasan pesisir di 155 negara.










