MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan negara itu akan menghantar kapal perang tentera laut bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla, yang dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Sanchez berkata demikian pada sidang akhbar di New York ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), semalam.
Menurutnya, konvoi tersebut membawa warga daripada 45 buah negara dengan tujuan menghantar bantuan asas kepada penduduk Gaza dan memecahkan sekatan Israel ke atas perairan wilayah itu.
“Kerajaan Sepanyol menegaskan undang-undang antarabangsa mesti dihormati. Hak rakyat kami untuk belayar di Laut Mediterranean dalam keadaan selamat juga perlu dipatuhi,” katanya.
Beliau menjelaskan, kapal perang berkenaan akan berlayar dari Cartagena hari ini dengan segala kelengkapan diperlukan sekiranya misi penyelamatan perlu dijalankan.
Global Sumud Flotilla mengerahkan kira-kira 50 bot awam dalam usaha memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza melibatkan peguam, aktivis antarabangsa termasuk penggerak perubahan iklim dari Sweden, Greta Thunberg.
Jurucakap March to Gaza Greece, Marikaiti Stasinou memaklumkan, flotila tersebut diserang 12 dron ketika berada di perairan antarabangsa, kira-kira 56 kilometer dari pulau Gavdos, Greece.
Israel sebelum ini menuduh konvoi tersebut menyokong Hamas, namun tidak memberi sebarang komen berhubung serangan dron itu.
Perang Israel ke atas Gaza dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menyebabkan 251 orang dijadikan tebusan, menurut rekod rasmi Tel Aviv.
Sehingga kini, konflik berterusan itu telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin, selain mencetuskan kebuluran, meranapkan sebahagian besar bangunan dan memaksa jutaan penduduk berpindah berulang kali.- AGENSI