WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Russia berhubung serangan udara terbesarnya terhadap Ukraine dan mencadangkan sekatan lebih keras untuk melumpuhkan ekonomi Moscow.
Trump menyifatkan situasi itu sebagai satu pembaziran nyawa yang tragis dan memberi isyarat bersedia memperketatkan lagi sekatan terhadap Moscow.
“Ia satu pembaziran kemanusiaan yang mengerikan. Saya tidak gembira dengan apa yang berlaku di sana. Saya rasa ia akan dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Andrews di Maryland.
Bercakap kepada NBC News, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, sekatan lebih ketat, termasuk langkah sekunder terhadap pembeli minyak Russia mampu melumpuhkan ekonomi negara itu dan memaksa Presidennya, Vladimir Putin ke meja rundingan.
“Kami bersedia meningkatkan tekanan terhadap Russia, tetapi kami memerlukan sokongan rakan-rakan Eropah. Kini kami berlumba masa antara berapa lama tentera Ukraine mampu bertahan dan berapa lama ekonomi Russia boleh terus hidup.
“Jika AS dan EU mengenakan lebih banyak sekatan serta tarif sekunder ke atas negara yang membeli minyak Russia, ekonomi Moscow akan lumpuh sepenuhnya,” katanya.
Serangan besar-besaran dron dan peluru berpandu Russia pada Sabtu malam hingga Ahad pagi membunuh sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang bayi dan membakar kompleks kerajaan yang menempatkan kabinet negara itu.
Menurut Tentera Udara Ukraine, Russia melancarkan sekurang-kurangnya 810 dron dan 13 peluru berpandu dalam serangan tersebut yang terbesar sejak perang bermula.
Duta AS ke Ukraine, Keith Kellogg mengecam serangan itu, menegaskan ia bukan petanda Russia mahu menamatkan perang secara diplomatik.
Trump yang mengenakan tarif 50 peratus terhadap India kerana terus membeli minyak Russia, berulang kali mengancam untuk meningkatkan tekanan terhadap Moscow ketika beliau bergelut menunaikan janji menamatkan perang dengan segera.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengalu-alukan cadangan mengenakan penalti terhadap negara yang masih menjalankan perniagaan dengan Moscow.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua rakan, tetapi ada antara mereka yang masih membeli minyak serta gas Russia dan ini tidak adil. Saya fikir idea mengenakan tarif terhadap negara yang terus membuat urusan dengan Russia adalah idea yang tepat,” katanya dalam temu bual bersama ABC News.










