HOUSTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini menolak permohonan visa pemimpin Palestin Mahmoud Abbas dan delegasi besarnya untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bulan ini.
Kini, Washington mungkin menyasarkan negara lain termasuk Iran, Sudan, Zimbabwe, dan Brazil.
Pergerakan delegasi kesemua negara berkenaan mungkin dihadkan di luar kawasan New York semasa UNGA berlangsung bermula 22 September ini.
Menurut satu memo dalaman Jabatan Negara AS yang dilihat Associated Press, cadangan sekatan itu merupakan sebahagian daripada tindakan tegas Trump terhadap pemilikan visa, termasuk semakan semula secara menyeluruh terhadap visa yang sudah dikeluarkan dan permohonan baharu, walaupun untuk kehadiran rasmi ke sidang PBB.
Antara langkah yang dipertimbangkan ialah larangan terhadap diplomat Iran daripada membeli-belah di gedung borong seperti Costco dan Sam’s Club tanpa kelulusan khas dari Jabatan Negara.
Premis perniagaan itu sering menjadi tumpuan diplomat Iran kerana mereka boleh mendapatkan barangan dalam kuantiti besar dengan harga lebih murah selain barangan yang sukar diperoleh di negara mereka susulan sekatan ekonomi.
Tarikh kuat kuasa larangan membeli-belah itu masih belum dipastikan. Namun memo berkenaan turut menyebut Jabatan Negara merangka peraturan baharu yang akan membolehkan mereka menetapkan syarat langganan ke kelab borong oleh semua diplomat asing di AS.
Bagi Brazil, memo tidak memperincikan sama ada sekatan visa yang dicadangkan itu akan menjejaskan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva atau hanya pegawai peringkat rendah delegasi negara tersebut.
Secara tradisinya, Presiden Brazil adalah pemimpin dunia pertama yang berucap pada hari pembukaan UNGA, diikuti Presiden AS sebagai penceramah kedua.
Namun, hubungan antara Washington dan Brasilia kini tegang berikutan pendakwaan terhadap bekas Presiden Jair Bolsonaro, sekutu rapat Trump, dengan dakwaan terlibat dalam percubaan rampasan kuasa.
Dalam perkembangan berasingan, delegasi Syria dilaporkan menerima pengecualian khas daripada sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap mereka lebih sedekad lalu. Pengecualian itu diberikan minggu lalu sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi AS untuk memulihkan hubungan dengan Syria selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad tahun lalu.
Walaupun Sudan dan Zimbabwe turut disebut sebagai sasaran sekatan, memo tidak menyatakan secara jelas bentuk sekatan yang sedang dipertimbangkan terhadap mereka.
Setakat ini, Jabatan Negara AS enggan memberikan sebarang komen. Misi tetap Iran dan Brazil ke PBB juga belum memberikan maklum balas terhadap permintaan media.










