MEXICO CITY: Seorang lelaki Mexico menuduh bekas isterinya dan teman lelaki wanita itu yang juga pakar bedah plastik, sebagai punca kematian anak perempuannya berusia 14 tahun selepas didakwa menjalani beberapa pembedahan kosmetik secara rahsia, termasuk implan payudara.
Mangsa, Paloma Nicole Arellano Escobedo, meninggal dunia di sebuah hospital di Durango selepas mengalami edema serebrum akibat masalah pernafasan, menurut laporan rasmi.
Namun bapanya, Carlos Arellano, mendakwa punca sebenar kematian anaknya tidak ada kaitan dengan laporan tersebut.
Carlos menegaskan Paloma telah menjalani beberapa prosedur pembedahan plastik tanpa pengetahuannya, antaranya pembesaran payudara, Brazilian Butt Lift, dan sedutan lemak.
Kes ini mencetuskan kemarahan umum di Mexico, memaksa pihak berkuasa membuka siasatan terhadap punca kematian remaja berkenaan.
“Sijil kematian menyatakan punca kematian akibat penyakit pernafasan, kononnya untuk menutup kebenaran.
“Mereka menyerahkannya terlalu cepat. Saya tidak tahu bagaimana ia diperoleh begitu segera. Saya menuntut semua yang terlibat disiasat,” kata Carlos.
Bapa mangsa membuat laporan polis selepas pengebumian anaknya, dengan mendakwa terdapat sesuatu yang disembunyikan di sebalik kematian Paloma.
Menurutnya, kira-kira seminggu sebelum tragedi, ibu Paloma memaklumkan mereka akan ke kawasan pergunungan kerana Paloma disahkan positif Covid-19.
Beberapa hari kemudian, dia menerima panggilan anak perempuannya dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius.
Namun kecurigaan Carlos memuncak ketika pengebumian apabila beberapa ahli keluarga mendakwa bentuk tubuh Paloma berubah.
“Di majlis pengebumian, ada saudara-mara memberitahu saya payudaranya kelihatan lebih besar. Kami periksa sendiri dan ternyata memang ada implan. Kami ada gambar implan dan kesan parutnya,” katanya.
Pembedahan itu dijadikan ‘hadiah’ menjelang ulang tahun ke-15 Paloma dan dilakukan oleh teman lelaki bekas isterinya.










